PETALING JAYA: Veteran DAP, Lim Kit Siang meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk mendedahkan markah sebenar setiap menteri bagi jemaah menteri pimpinannya.
Ini berikutan beliau mempersoalkan sama ada petunjuk prestasi setiap menteri itu mencapai 90 peratus atau sebaliknya.
“Malaysia sudah tentu mempunyai menteri yang hebat apabila Kabinet boleh mendapat 90 peratus markah daripada Perdana Menteri untuk prestasi 100 hari mereka.
“Namun, inilah misterinya, 31 Menteri itu tidak dikenali kerana kecerdasan super mereka, malah dua daripada mereka tidak boleh mengira 100 Hari apabila dengan sendirinya mendakwa mereka telah melepasi 100 Hari dengan cemerlang pada bulan November lepas.
“Sekiranya 15 Menteri mendapat sekurang-kurangnya 80 mata, ini bermakna 15 Menteri lagi mesti mendapat mata penuh 100 peratus. Adakah ada kemungkinan itu?,” soalnya dalam satu kenyataan, hari ini.
Kelmarin, Ismail Sabri mengumumkan prestasi kerja 100 Hari Jemaah Menteri Kabinet diterajuinya mencapai sekitar 90 peratus dan berikrar untuk terus mendengar lebih banyak pandangan dan luahan rakyat bagi menambah baik sistem penyampaian serta perkhidmatan kerajaan.
Menurut Kit Siang, kewajipan itu terletak pada Ismail Sabri untuk membuktikan bahawa beliau tidak semata-mata menggunakan Menteri sewenang-wenangnya yang tidak mempunyai asas apa-apa.
“Sebelum Perdana Menteri menjadikan dirinya dan negara sebagai bahan ketawa, saya akan meminta beliau mengeluarkan markah individu setiap Menterinya, dan bagaimana prestasi jemaah menterinya mencapai skor 90 peratus,” jelasnya. -UTUSAN ONLINE