Kajian Ilham Centre jangka BN menang PRN Melaka - Utusan Malaysia

Kajian Ilham Centre jangka BN menang PRN Melaka

pru
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pusat penyelidikan bebas, Ilham Centre meramalkan Barisan Nasional (BN) akan memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka berbanding Pakatan Harapan (PH) mahupun Perikatan Nasional (PN), menjelang hari mengundi esok.

Dalam laporan yang disediakan oleh panel penyelidikan Ilham Centre, jangkaan itu dibuat berdasarkan faktor-faktor peratusan keluar mengundi, pilihan pengundi Melayu, calon Ketua Menteri, isu tempatan yang lebih dominan, ayunan undi (vote swing) dan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Malah, jelas laporan itu, BN mempunyai 11 kawasan yang sangat selesa untuk dimenangi iaitu Ayer Limau, Serkam, Taboh Naning, Ayer Molek, Sungai Rambai, Sungai Udang, Lendu, Kuala Linggi, Telok Mas, Merlimau dan Rim manakala PH pula selesa di tujuh kerusi iaitu Bukit Katil, Paya Rumput, Duyong, Ayer Keroh, Kesidang, Kota Laksamana dan Bandar Hilir.

“Terdapat 10 kawasan yang sukar dibuat bacaan tepat disebabkan persaingan sengit antara calon. Kawasan ini terbuka kepada taktikal parti untuk memikat dan menambat pengundi di kawasan ini. 10 kawasan tersebut ialah Asahan, Klebang, Tanjong Bidara, Pantai Kundor, Durian Tunggal, Machap Jaya, Rembia, Pengkalan Batu, Bemban dan Gadek.

“BN perlu mencari sekurang-kurangnya empat DUN tambahan daripada 10 kawasan panas ini untuk melengkapkan majoriti mudah bagi memimpin Melaka. PH perlu mempertahankan kawasan yang dimenangi mereka dahulu agar tidak terlepas kepada BN mahupun PN,” kata laporan itu.

Bagi PN pula, menurut laporan berkenaan, mereka mempunyai peluang untuk membuat kejutan di Tanjong Bidara, Rembia dan Bemban kerana faktor calon yang berjaya mengimbangi kekuatan calon BN dan PH.

“Tetapi kami melihat semakin besar PN mencuri undi Melayu dalam kawasan ini, semakin tinggi peluang kemenangan PH di atas faktor pertembungan tiga penjuru.

“Menuju saat-saat akhir fasa kempen, BN mendahului di hadapan berbanding dua gabungan yang lain.

“Dua faktor PH berpeluang untuk menang iaitu peratusan keluar mengundi melebihi 80 peratus dan PN berupaya memecahkan dominasi undi Melayu yang dimiliki oleh BN. Jika dua situasi ini tidak berlaku, maka BN berupaya tampil sebagai pemenang,” kata laporan berkenaan.

Dalam pada itu, laporan itu berkata, PH memasuki PRN dengan membayangkan mereka mampu mengulangi kemenangan PRU-14 setelah parti-parti kerajaan tidak berjaya memuktamadkan kerjasama politik mereka.

“Ini mengakibatkan pertembungan tiga penjuru gabungan utama tidak dapat dielakkan. Selayang pandang, ramai mengatakan apabila BN dan PN bertembung akan menguntungkan PH.

“Tetapi sebaliknya berlaku keadaan itu tidak diterjemahkan seperti mana perkiraan tersebut. Ini kerana PH memperoleh keuntungan adalah kerana sumbangan undi pengundi bukan Melayu yang tinggi dan berlaku ayunan undi pengundi Melayu yang signifikan. Ini perbezaan PRN Melaka dan PRU-14 yang lalu,” katanya.

Oleh itu, berasaskan faktor-faktor yang dinyatakan di atas, peratusan keluar mengundi yang rendah, rekahan undi Melayu dan pesimisnya pengundi Cina menjadi penentu parti mana yang menang.

“Hitungan mudah, PH mempunyai peluang sekiranya momentum PRU-14 kembali berulang dengan peratusan keluar mengundi yang tinggi dan mereka menerima undi Melayu yang signifikan serta limpahan pengundi Cina yang maksima.

“Dengan semua ini PH hanya berjaya memperolehi 15 DUN dengan majoriti tipis membentuk kerajaan. Andai kata hilang mana-mana faktor di atas, sukar buat PH untuk mengulangi pencapaian terbaik mereka,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya