MELAKA: Calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kini giat menggunakan platform media sosial untuk berkempen berikutan halangan berkempen secara bersemuka bagi mengekang penularan Covid-19.
Misalnya calon BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau, Dr. Muhamad Akmal Saleh akan bersiaran secara Facebook dan Instagram Live pada pukul 10.30 malam ini.
“Malam ni, jom kita kenal dengan lebih rapat lagi siapa Dr Akmal Saleh. Nak tanya apa-apa pun boleh, tiada masalah,” katanya menerusi hantaran Facebook beliau hari ini.
Selain itu, beberapa parti lain seperti Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) mengambil langkah sama berkempen secara normal baharu.
Mereka dilihat memuat naik bahan kempen untuk mempromosikan calon masing-masing khususnya kepada pengundi kawasan masing-masing.
Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menegaskan sebarang aktiviti ceramah yang menghimpunkan orang ramai adalah tidak dibenarkan.
Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, begitu juga aktiviti ziarah oleh calon atau penyokong parti ke rumah-rumah pengundi dan aktiviti walkabout adalah juga tidak dibenarkan.
Justeru, kata beliau calon boleh memaksimumkan kaedah kempen menggunakan medium atas talian atau melalui saluran media massa dan media sosial. -UTUSAN ONLINE










