PETRA lancar koleksi lebaran 2026, buka ruang kerjasama serantau

PETRA lancar koleksi lebaran 2026, buka ruang kerjasama serantau

AMMAR Hazwan (tengah) bersama model dan pempengaruh yang hadir memakai koleksi PETRA Lebaran ketika Majlis Pelancaran Koleksi Lebaran PETRA Soirée di Hotel Hilton Petaling Jaya, baru-baru ini. - UTUSAN/ISKANDAR ISHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jenama fesyen tempatan, PETRA, menyasarkan 20 peratus peningkatan jualan bagi musim lebaran 2026, seiring usaha memperluaskan kerjasama di peringkat serantau termasuk Jakarta dan Brunei.

Pengarah Kreatif PETRA Design Haus, Ammar Hazwan berkata, sasaran itu disokong pelancaran awal koleksi, pertambahan rekaan serta peningkatan kapasiti pengeluaran tahunan yang secara konsisten mencatatkan pertumbuhan minimum 20 peratus setiap musim perayaan.

“Setiap tahun kami meningkatkan pengeluaran sekurang-kurangnya 20 peratus.

“Tahun ini permintaan dijangka lebih tinggi kerana sambutan Aidilfitri dilihat lebih meriah dan pengguna lebih teruja dengan rekaan yang ditawarkan,” katanya ketika ditemui ketika Majlis Pelancaran PETRA lebaran 2026 di Hilton Petaling Jaya, baru-baru ini.

Pelancaran PETRA Lebaran 2026 diraikan menerusi kolaborasi eksklusif bersama Hilton Petaling Jaya, yang menyatukan dunia fesyen dan hospitaliti mewah dalam suasana intim dan elegan, sekali gus memperkukuh kedudukan jenama itu dalam segmen premium.

Koleksi terbaharu ini menampilkan 28 rekaan eksklusif merangkumi koleksi wanita, PETRA Petite untuk kanak-kanak serta Baju Melayu Teluk Belanga Abraham, menjadikannya koleksi lengkap untuk seisi keluarga.

Menurut Ammar, kekuatan utama koleksi kali ini terletak pada pendekatan yang lebih mendalam terhadap warisan Nusantara, khususnya melalui penggunaan siluet kebaya sebagai teras utama rekaan.

“Jika sebelum ini PETRA lebih dikenali dengan baju kurung, koleksi Lebaran 2026 banyak menampilkan kebaya sebagai elemen utama.

“Ia diinspirasikan daripada kebaya lama nusantara, tetapi disegarkan dengan cetakan khas (custom print) PETRA, potongan moden dan fabrik yang lebih mewah,” jelasnya.

Tambahnya, selain pasaran tempatan, PETRA turut membuka ruang kerjasama strategik di peringkat serantau termasuk Jakarta dan Brunei, selain perancangan pembukaan stor pop-up sebagai sebahagian daripada usaha mengukuhkan jenama di pasaran antarabangsa.

“Kami terbuka untuk kolaborasi dan melihat potensi besar di rantau ini. Sambutan terhadap rekaan berteras warisan sangat memberangsangkan, bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di negara jiran,” katanya.

PETRA Lebaran 2026 ditawarkan pada harga antara RM299 hingga RM795 dan boleh didapati secara dalam talian di www.petrartw.com, di PETRA Store Seksyen 7, Shah Alam serta di Isetan KLCC. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN