Calon-calon PRN Melaka tinjau proses undi awal - Utusan Malaysia

Calon-calon PRN Melaka tinjau proses undi awal

SULAIMAN MD. ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Calon-calon yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka meninjau perjalanan proses pengundian awal yang mula dibuka pada pukul 8 pagi ini.

Misalnya calon BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali melihat sendiri proses pengundian awal dijalankan di Balai Polis Masjid Tanah.

Katanya, terdapat dua pusat pengundian awal dibuka di bawah kawasan DUN Lendu.

“Secara keseluruhannya, saya berpuas hati melihat prosedur pengundian dijalankan khususnya dalam suasana norma baharu,” katanya.

Selain itu, calon PH DUN Bukit Katil, Adly Zahari juga melawat pusat pengundian awal di Balai Polis Bukit Baru. 

Beliau harap semua anggota polis yang akan mengundi hari ni dapat membuat pilihan yang terbaik dengan memilih Pakatan Harapan (PH).

Proses pengundian awal PRN Melaka melibatkan 31 lokasi di seluruh negeri bermula pada pukul 8 pagi ini.

Dijangka 11,557 pengundi awal terdiri daripada 9,217 anggota tentera dan pasangan serta 2,340 polis akan menjalankan tanggungjawab masing-masing pada hari ini.

Sebelum ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh 8 November sebagai hari penamaan calon manakala pengundian awal pada 16 November.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dibubarkan pada 4 Oktober lalu selepas dipersetujui Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Ali Rustam.

Ia susulan empat bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menarik sokongan daripada kerajaan Negeri Melaka di bawah pentadbiran Sulaiman selaku Ketua Menteri. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN