'Saya ada 10 hari untuk fikir' - Ahmad Maslan - Utusan Malaysia

‘Saya ada 10 hari untuk fikir’ – Ahmad Maslan

AHMAD Maslan (dua kanan) bersama Hasni Mohammad (kanan) ketika melawat pelaksanaan PICK Remaja di PPV Benut, Pontian di Johor. -UTUSAN/MUHAMMAD ZIKRI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan tidak menolak kemungkinan akan menyerahkan borang pencalonan sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat dalam masa terdekat.   

 

Katanya, beliau masih mempunyai tempoh selama 10 hari untuk menghantar borang tersebut kepada Yang Dipertua, Datuk Azhar Azizan Harun sebelum sesi persidangan Dewan Rakyat pada 25 Oktober ini. 

 

Menurut beliau, walaupun sebelum ini, pencalonannya terhadap jawatan itu ditolak ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Perikatan Nasional (PN), namun, beliau percaya masih ada ruang perbincangan bagi membolehkannya mengisi kekosongan jawatan berkenaan.

 

“Borang pencalonan perlu dihantar sebelum 14 hari Dewan Rakyat bersidang dengan sesi seterusnya untuk bersidang adalah pada 25 Oktober ini.

 

“Maka, saya ada tempoh 10 hari untuk berfikir dan berbincang tentang perkara itu. Tunggu sedikit masa lagi untuk saya bincang bagi mendapatkan kata putus berhubung pencalonan jawatan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat,” katanya.

 

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas bersama Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Benut bagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Remaja berusia 12 hingga 17 tahun, di sini hari ini.

 

Hadir sama, Pegawai Kesihatan Daerah Pontian, Dr. Surinah Asan dan Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Pontian, Zaini Ahmad. 

 

Sebelum ini, beberapa portal berita melaporkan, parti dalam gabungan PN memutuskan untuk tidak menyokong rancangan UMNO mencalonkan Ahmad walaupun Ahli Parlimen Pontian itu dibebaskan daripada pertuduhan pengubahan wang haram, baru-baru ini.

 

Sementara itu, ketika ditanya adakah PN ada membuat permintaan kepada UMNO berkaitan jumlah kerusi bagi persediaan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), kata Ahmad, UMNO tegas untuk mempertahankan kerusi yang dimenangi.

 

“Setakat ini, UMNO tidak terima apa-apa permintaan daripada PN berhubung agihan kerusi. Oleh itu UMNO kekal dengan pendirian untuk teruskan pertahan kerusi yang pernah dimenangi sebelum ini,” katanya.

 

Dalam pada itu, Ahmad turut menyatakan terdapat perbincangan yang sedang dibuat berhubung kemelut politik yang berlaku di Melaka dan memilih untuk tidak mahu mengulas isu tersebut buat masa ini. 

 

“Isu di Melaka ini elok tunggu dahulu sebab ada perundingan-perundingan yang sedang dibuat, jadi saya tidak boleh boleh berikan sebarang komen,” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN