MELAKA: Mesyuarat cawangan UMNO seluruh negara tidak akan ditangguh seperti mana dijadual berlangsung bermula 15 Oktober hingga 30 November, walaupun Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dijalankan atau dilewatkan melalui Proklamasi Darurat.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, ini memandangkan mesyuarat cawangan kali ini tidak melibatkan pemilihan, justeru adalah tidak wajar ditangguhkan semata-mata alasan PRN mahupun darurat.
“Kita ada tempoh sebulan setengah dan masa yang panjang untuk semua cawangan mengadakan mesyuarat. Mereka boleh pilih tarikh yang sesuai dan ia tidak mengganggu perjalanan PRN di Melaka.
“Semua mesyuarat cawangan tidak akan menjalankan sebarang pemilihan kerana Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) telah bersetuju mengenai penangguhan pemilihan parti sehingga Disember 2022.
“Oleh itu, tidak ada sebab mesyuarat cawangan perlu ditangguhkan semata-mata kita hendak menghadapi PRN nanti. Tiada penangguhan,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri majlis perjumpaan khas UMNO bahagian seluruh Melaka di Dataran Baitul Tariq, Klebang, malam tadi.
Majlis turut dihadiri Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh; Timbalannya, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad serta enam ketua bahagian.
Dalam pada itu, Ahmad berkata, perbincangan mengenai PRN Melaka akan dibincangkan secara khusus dalam mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO dipengerusikan Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Khamis ini.
Menurut beliau, mesyuarat itu juga turut dihadiri Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hassan, Naib Presiden yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Datuk Mahdzir Khalid dan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
“Mesyuarat ini kita tidak bincangkan soal pembahagian kerusi ataupun senarai calon UMNO yang akan bertanding dalam PRN nanti. Kita belum muktamadkan apa-apa berkaitan perkara tersebut, termasuk dengan komponen Barisan Nasional (BN).
“MT akan mendengar taklimat daripada Ab. Rauf dan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali mengenai perkembangan politik di Melaka, dari segi persiapan jentera menghadapi PRN yang masih belum diputuskan,” jelasnya. -UTUSAN ONLINE










