ALOR SETAR: Pergerakan Pemuda UMNO menyambut baik cadangan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) terhadap bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas dibawa ke Kabinet .
Pengarah Komunikasinya, Syed Mohd. Johan Rizal Syed Unan Mashri berkata, RCI terhadap Tommy menjadi perjuangan Pemuda UMNO Malaysia sejak beliau mengeluarkan buku ‘My Story: Justice in the Wilderness’.
“Kami tidak berhenti menyuarakan agar bekas Peguam Negara ini diambil tindakan, malah, puluhan laporan polis dibuat. Majlis Tertinggi UMNO juga mendesak siasatan RCI terhadapnya.
“Saya teruja dengan langkah membawa ke Kabinet cadangan penubuhan RCI salah laku terhadapnya tetapi agak tersentak apabila RCI terhadap SPRM telah ditolak,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, keperluan menubuhkan RCI berhubung pendedahan Tommy mengenai campur tangan politik dalam institusi Peguam Negara dan keselamatan akan dibawa kepada jemaah menteri.
Syed Mohd. Johan Rizal berkata, Pemuda UMNO percaya proses mencari kebenaran menerusi RCI harus dilakukan dengan setelusnya dan segala kepincangan dalam sistem keadilan negara ini, jika ada, dapat diperbaiki.
“Jadi, ia masa yang sangat sesuai dan perlu dibuat RCI, walaupun kerajaan mengambil masa yang amat lama untuk membuat keputusan.
“Kabinet tidak ada pilihan melainkan meluluskan penubuhan RCI agar integriti institusi Peguam Negara tetap utuh terpelihara. Orang ramai juga menanti jawapan segala ‘tuduhan liar’ Tommy dalam bukunya itu,” katanya.
Katanya, mengenai RCI terhadap SPRM berikutan tindakan tiga pegawainya yang disyaki terbabit penyelewengan bahan bukti, Pemuda UMNO berpendapat kerajaan perlu meneliti semula keputusan tidak mengadakan RCI.
“Kami percaya RCI peluang membersihkan imej agensi itu dan memperbaiki kelemahan prosedur serta memulihkan kembali keyakinan orang awam.
“Walaupun polis menjalankan siasatan ia fokus kepada unsur jenayah tetapi RCI boleh melihat sebarang kelemahan dan mengemukakan cadangan bagi memperkukuhkan organisasi,” katanya.
Pada awal tahun ini, Tommy dalam bukunya bertajuk ‘My Story: Justice in the Wilderness’ membuat pendedahan menggemparkan mengenai campur tangan politik khususnya dalam institusi Peguam Negara.
Buku itu mencetuskan kontroversi selepas beberapa nama tokoh disebut antaranya bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, Datuk Seri Najib Razak dan bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali.
Antara yang dikupas dalam bukunya berkenaan pendakwaan 1Malaysia Development Bhd. (1MDB), masalahnya di Pejabat Peguam Negara dan pelantikannya yang kontroversi.
Tommy juga turut mencatat bahawa Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dicalonkan sebagai Perdana Menteri interim bukan Tun Mahathir selepas Pakatan Harapan (PH) tumbang.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim baru-baru ini mengusulkan kepada kerajaan untuk mewujudkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) terhadap dakwaan Tommy dalam buku yang ditulis beliau itu. -UTUSAN ONLINE










