Pas tubuh jawatan kuasa hadapi PRN Melaka - Utusan Malaysia

Pas tubuh jawatan kuasa hadapi PRN Melaka

ABDUL HADI AWANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Pas telah menubuhkan sebuah Jawatankuasa Induk Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bagi merangka strategi menghadapi pilihan raya tersebut. 

 

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, jawatan kuasa ini dipengerusikan oleh Naib Presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan dibantu oleh Jabatan Pilihan Raya Pas Pusat dan Badan Perhubungan Pas Negeri Melaka.

 

“Pas mengikuti perkembangan politik di Melaka dan melahirkan kekesalan di atas pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka secara luar jangka dalam tempoh pemulihan pandemik ini.

 

“Namun, Pas menyatakan kesediaan untuk menghadapi sebarang kemungkinan termasuklah mendepani PRN sekiranya dilaksanakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Sebelum ini, Yang Dipertua DUN Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusof memaklumkan pembubaran DUN selepas permohonan diperakukan oleh Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd. Rustam.

 

Keputusan itu dibuat ekoran empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mengumumkan hilang kepercayaan dan menarik sokongan ke atas kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali.

 

Bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron bersama tiga lagi ADUN daripada Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Bebas mengumumkan menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan Sulaiman.

 

Selain Idris, tiga lagi wakil rakyat adalah Datuk Noor Effandi Ahmad (PN-Telok Mas), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), dan Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu). -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN