Perlu laksana Undi18 sebelum PRU-15 - Anwar - Utusan Malaysia

Perlu laksana Undi18 sebelum PRU-15 – Anwar

ANWAR Ibrahim dalam sidang akhbar selepas menghadiri Mesyuarat MPN PKR Negeri Sembilan di Kediaman Rasmi Menteri Besar Negeri Sembilan di Seremban hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Pelaksanaan Undi18 perlu dijalankan selewat-lewatnya pada hujung tahun ini atau lebih jelas sebelum diadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

 

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, itu merupakan pendirian pihaknya dan ia mesti dilaksanakan dalam tempoh tersebut.

 

“Pendirian kita itu mesti dijalankan dan selama ini kerajaan cuba dolak dalik, memberi pelbagai alasan teknikal undang-undang dan sebagainya 

 

“Saya apabila berjumpa Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, saya juga tekankan hal ini, perlu dijalankan dan amanah iaitu memastikan Undi18 diluluskan sebelum akhir tahun ini atau sebelum PRU-15 akan datang,” katanya.

 

Beliau yang juga Presiden PKR berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan mesyuarat Majlis Pimpinan Parti (MPN) PKR Negeri Sembilan di Kediaman Rasmi Menteri Besar Negeri Sembilan di sini hari ini.

 

Dalam pada itu, Anwar turut menegaskan, soal teknikal dan perkara berkaitan peruntukan undang-undang tertentu tidak wajar dijadikan alasan sehingga melengahkan pelaksanaan Undi18 itu.

 

“Saya percaya, kalau SPR terima arahan yang jelas, mereka mampu menjalankannya,” katanya lagi.

 

SPR semalam memaklumkan bahawa mereka menghormati keputusan (Semakan Kehakiman) yang diputuskan Mahkamah Tinggi Kuching, Sarawak berhubung pelaksanaan Undi18 termasuk soal pendaftaran pemilih automatik bagi rakyat yang belum pernah berdaftar sebagai pemilih.

 

Namun, sebarang tindakan susulan SPR akan dimaklumkan kelak selepas Mahkamah Tinggi Kuching pada 3 September lalu dalam keputusannya mengarahkan Kerajaan Persekutuan untuk melaksanakan Undi18 selewat-lewatnya pada 31 Disember ini.

 

Pesuruhjaya Kehakiman, Alexander Siew membenarkan permohonan yang difailkan lima belia Sarawak untuk mencabar keputusan kerajaan terdahulu yang tidak melaksanakan pindaan Undi18 pada Julai.

 

Susulan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dalam sidang akhbarnya di Putrajaya mengarahkan SPR agar terus mempercepatkan proses itu seawal-awalnya pada Januari tahun depan.

 

Dengan pelaksanaan itu, dijangka seramai 5.6 juta rakyat Malaysia termasuk yang belum mendaftar sebagai pengundi akan berpeluang menjadi pemilih pada PRU-15. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN