MIAMI: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mendakwa negara itu ‘kehilangan kedaulatan’ susulan kemenangan ahli politik berhaluan kiri, Zohran Mamdani, sebagai Datuk Bandar baharu New York.
“Kami akan menanganinya,” kata Trump tanpa memperincikan maksud kenyataannya, sambil menuduh bandar terbesar di AS itu kini bakal menjadi “komunis.”
Berucap di Miami sehari selepas kemenangan besar Mamdani, Trump menggambarkan bandar Florida itu sebagai “tempat perlindungan bagi mereka yang melarikan diri daripada komunisme di New York.”
“Pilihan yang dihadapi rakyat Amerika amat jelas, kita harus memilih antara komunisme dan akal waras,” katanya sambil menyifatkan pilihan itu sebagai perbezaan antara “mimpi ngeri ekonomi” dan “keajaiban ekonomi.”
Ucapan tersebut disampaikan sempena ulang tahun pertama kemenangan Trump dalam pilihan raya presiden menentang calon Demokrat, Kamala Harris.
“Kita telah menyelamatkan ekonomi, mengembalikan kebebasan, dan bersama-sama menyelamatkan negara kita pada malam yang luar biasa setahun lalu,” katanya kepada ribuan penyokong.
Kemenangan Mamdani di New York dianggap bersejarah memandangkan beliau berdepan serangan peribadi dan kempen fitnah terhadap dasar serta latar belakang Islamnya oleh golongan konservatif, elit perniagaan dan Trump sendiri.
“Jika ada mana-mana bandar yang mampu menunjukkan kepada dunia bagaimana mengalahkan Donald Trump, ia ialah bandar yang pernah melahirkannya,” kata Mamdani dalam ucapan kemenangannya.
Kemenangan Mamdani, bersama kejayaan Parti Demokrat dalam pilihan raya gabenor di Virginia dan New Jersey, dilihat sebagai petanda perubahan besar dalam suasana politik AS menjelang pilihan raya separuh penggal tahun depan, yang bakal menentukan kawalan terhadap Kongres.










