RAMALLAH: Pasukan tentera dan penduduk peneroka Israel dilaporkan melancarkan lebih 2,350 serangan di seluruh Tebing Barat yang diduduki bulan lalu.
Menurut laporan bulanan dikeluarkan Suruhanjaya Penentangan Penjajahan dan Tembok (CRRC), sebanyak 1,584 serangan dilakukan oleh tentera Israel, termasuk serangan fizikal langsung terhadap orang awam Palestin, perobohan rumah, serta penebangan dan pemusnahan pokok zaitun.
Kebanyakan keganasan tertumpu di wilayah Ramallah (542 kes), Nablus (412 kes) dan Hebron (401 kes).
Ketua CRRC, Mu’ayyad Sha’ban, berkata peneroka Israel pula melakukan 766 serangan tambahan, yang menurutnya merupakan sebahagian daripada “strategi terancang untuk mengusir penduduk asal dan menegakkan rejim penjajahan bersifat perkauman.”
Laporan itu menambah bahawa jumlah serangan oleh peneroka mencapai tahap tertinggi, dengan serangan paling banyak disasarkan terhadap penduduk di Ramallah, Nablus dan Hebron.
Serangan terhadap petani Palestin yang sedang memetik buah zaitun dilaporkan meningkat mendadak. CRRC menyifatkan tindakan itu sebagai bentuk “keganasan negara” yang “diatur rapi oleh kerajaan pendudukan.”
Dalam kejadian-kejadian tersebut, peneroka dan tentera Israel dilaporkan memusnahkan serta meracuni lebih 1,200 pokok zaitun di kawasan Hebron, Ramallah, Tubas, Qalqilya, Nablus dan Bethlehem.
Laporan itu turut mendedahkan sejak Oktober, peneroka Israel cuba mendirikan tujuh pos penempatan baharu di tanah Palestin, khususnya di kawasan Hebron dan Nablus.
Tindakan ini berlaku di tengah-tengah rancangan pihak berkuasa Israel untuk meluluskan pembinaan 1,985 unit penempatan baharu melalui mesyuarat Majlis Perancangan Tinggi (HPC) yang dijangka berlangsung minggu ini.
Gerakan kiri Israel, Peace Now, mendedahkan sebanyak 1,288 unit baharu akan dibina di dua penempatan terpencil di utara Tebing Barat iaitu Avnei Hefetz dan Einav sebagai sebahagian daripada usaha memperluas penempatan secara sistematik.
Sejak awal tahun ini, HPC dilaporkan telah meluluskan pembinaan lebih 28,000 unit perumahan baharu, angka tertinggi pernah dicatatkan.










