Presiden Mexico jadi mangsa serangan seksual - Utusan Malaysia

Presiden Mexico jadi mangsa serangan seksual

CLAUDIA SHEINBAUM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEXICO CITY: Presiden Mexico, Claudia Sheinbaum menegaskan keperluan menjadikan gangguan seksual sebagai kesalahan jenayah di seluruh negara, susulan insiden memalukan yang menimpanya berhampiran Istana Presiden pada Selasa lalu.

Kejadian itu dirakam dan tular di media sosial apabila seorang lelaki dipercayai dalam keadaan mabuk menghampiri Sheinbaum dari belakang sebelum bertindak memeluk bahunya, menyentuh pinggul serta dada dan cuba mencium lehernya.

Pasukan keselamatan yang mengiringi beliau segera bertindak menarik lelaki terbabit sebelum suspek diserahkan kepada pihak berkuasa.

Sheinbaum, yang merupakan wanita pertama dilantik sebagai Presiden Mexico, berkata beliau membuat laporan polis selepas mendapati lelaki sama turut mengganggu wanita lain.

“Jika perkara seperti ini boleh berlaku kepada seorang presiden, bagaimana pula dengan nasib wanita biasa di negara ini?” katanya dalam sidang media di ibu negara pada Rabu.

Beliau turut berkongsi kejadian gangguan seksual bukan sesuatu yang baharu dalam hidupnya kerana pernah mengalaminya sejak zaman pelajar lagi.

“Tiada mana-mana lelaki berhak melanggar ruang peribadi wanita,” tegasnya.

Sheinbaum turut mengumumkan rancangan untuk melancarkan kempen nasional bagi memastikan gangguan seksual diklasifikasikan sebagai jenayah di semua 32 wilayah persekutuan Mexico.

Ketika ini, tidak semua negeri di Mexico mempunyai peruntukan undang-undang khusus untuk menghukum pelaku gangguan seksual, walaupun ia sudah dianggap kesalahan di Mexico City.

Walaupun insiden tersebut mencetuskan kebimbangan terhadap aspek keselamatan Presiden, Sheinbaum menegaskan beliau tidak akan mengubah pendekatan mesra rakyat yang diamalkan sejak awal pentadbirannya.

“Saya mahu kekal dekat dengan rakyat,” ujarnya.

Insiden berkenaan turut mencetuskan kemarahan masyarakat dan aktivis wanita yang menyifatkan ia sebagai bukti jelas budaya ‘macho’ masih berakar kuat dalam masyarakat Mexico.

Menurut data Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, kira-kira 70 peratus wanita Mexico berusia 15 tahun ke atas pernah mengalami sekurang-kurangnya satu bentuk gangguan seksual dalam hidup mereka.

Sementara itu, Datuk Bandar Mexico City, Clara Brugada, menyatakan sokongan penuh terhadap tindakan Sheinbaum dan menyifatkan gangguan terhadap presiden sebagai “serangan terhadap semua wanita.”

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN