PETALING JAYA: Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke Siew Fook menolak dakwaan Ketua Parti Pejuang Wilayah Persekutuan, Datuk Khairuddin Abu Hassan yang menyifatkan Pakatan Harapan (PH) mengetepikan parti pembangkang lain dalam memorandum persefahaman (MoU) bersama kerajaan.
Sebaliknya, beliau mendedahkan bahawa Parti Pejuang dan Warisan sudah pun dijemput oleh PH, namun, belum bersedia untuk menyatakan sebarang pendirian.
“Pimpinan tertinggi PH telah berbincang dengan semua pimpinan parti pembangkang yang lain berkenaan proses rundingan dengan kerajaan. Malah, petang semalam, satu taklimat khas telah disampaikan oleh pimpinan tertinggi PH kepada Presiden Parti Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkenaan isi kandungan MoU tersebut.
“Wakil Parti Warisan juga dijemput untuk taklimat tersebut, namun, mereka tidak hadir. Kami difahamkan Parti Pejuang dan Warisan belum bersedia untuk menandatangani MoU tersebut dengan kerajaan. PH menghormati pendirian mereka,” katanya dalam akaun Facebook miliknya.
Bagaimanapun, Loke berkata, kerjasama itu tidak bermaksud mereka tidak boleh bekerjasama dalam isu-isu yang lain.
“PH akan terus bekerjasama dengan semua Ahli Parlimen blok pembangkang dalam isu-isu di Parlimen termasuk melibatkan Ahli-ahli Parlimen Pejuang, Warisan dan Bebas dalam Jawatankuasa-jawatankuasa Pilihan Khas baharu yang bakal ditubuhkan yang merupakan sebahagian daripada komitmen yang perlu dilaksanakan oleh kerajaan dalam MoU yang akan ditandatangani petang ini,” katanya. -UTUSAN ONLINE










