Daripada anak asnaf ke perunding kewangan

Daripada anak asnaf ke perunding kewangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEHIDUPANNYA tidak seperti orang lain, membesar di rumah Felda tanpa bekalan air dan elektrik.

Saban kali ibu bapanya perlu meminjam beras daripada jiran-jiran untuk mengalas perut mereka sekeluarga.

Keperitan itu menjadi azimat untuk mentor pengurusan kewangan dan hartanah, Norriza Muhammad Yusof, 45, mengubah kehidupannya.

“Kalau budak-budak lain leka bermain, saya pula sudah terbiasa bekerja.

“Saya ikut ayah ke kebun petik kelapa sawit dan cendawan.

“Selain itu, saya turut menjual nasi lemak dan ais krim Malaysia, dapatlah pulang RM5 sehari,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Walaupun hasil keuntungan tidak besar, sekurang-kurangnya dapatlah menampung perbelanjaan persekolahannya.

Norriza enggan membebankan kedua ibu bapanya, apatah lagi mereka hanyalah pekebun.

“Rumah saya selalu terputus bekalan beras hingga terpaksa meminjam daripada jiran-jiran,” katanya.

Kemiskinan tidak menghalangnya belajar hingga ke menara gading.

Segalanya dilakukan demi merealisasikan impian ibu bapa yang mahu melihatnya berjaya.

Selepas menamatkan diploma perakaunan dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), beliau mula bekerja sebagai pembantu akauntan dengan gaji RM1,200 sebulan.

Melihat gaji yang diperolehnya itu, membuatkan diri sekali lagi agak kecewa kerana jumlah tersebut tidak dapat menampung dan meringankan ibu bapanya di kampung.

Daripada situ, bermulah perjalanan luar biasa iaitu dengan sanggup memiliki kerja sampingan kerana berhasrat untuk memberi ibu dan bapanya wang belanja yang lebih besar bagi membalas jasa mereka.

Katanya, walaupun waktu pekerjaan di pejabatnya tamat sehingga pukul lima, namun beliau masih meneruskan pekerjaan yang lain. Antara pekerjaan yang beliau ambil ialah sebagai penjual tudung dan telefon bimbit.

“Ketika membuat kerja sampingan sebagai penjual tudung, terdapat kenangan yang amat menyentuh perasaan di mana penjual yang sering untuk dapat bekalan menyarankan saya untuk membantu menjual dan keuntungan diperolehi bersama.

“Pada masa itu, saya sangat terharu dan percaya urusan perniagaan sentiasa dipermudahkan jika kita berusaha dengan ikhlas,’ katanya.

Sasaran RM1 juta
Norriza amat menitikberatkan amalan berjimat-cermat dan berjaya menyimpan RM1 juta selepas 10 tahun.

Petuanya mudah sahaja iaitu dengan disiplin bagi membolehkan sebahagian besar pendapatannya termasuk daripada kerja sampingan dapat disimpan secara konsisten.

Selain itu, beliau juga berusaha mengawal diri daripada terjebak dalam gaya hidup berlebihan meskipun mempunyai pendapatan bulanan stabil.

“Bagi memastikan simpanan dapat berkembang dengan cepat, saya memilih organisasi kewangan yang diyakini dan berstruktur Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) dan Lembaga Tabung Haji (TH).

“Langkah tersebut bukan sahaja membantu menguruskan wang dengan lebih teratur, malah memberikan pulangan untuk jangka panjang selamat,” katanya.

Menariknya, hasil usaha berterusan beliau membuahkan hasil yang membanggakan seperti yang diingini.

Beliau bukan sahaja mampu menabung, malah berupaya memberikan wang belanja kepada keluarga dengan berjumlah RM2,000 setiap buan.

Kejayaan tersebut menjadi bukti kesungguhan dan perancangan rapi mampu membina kestabilan kewangan luar biasa dalam jangka masa panjang.

 

Tubuh syarikat
Setelah bertahun-tahun bekerja makan gaji dan sampingan, Norriza mengorak langkah sebagai ejen insurans sepenuh masa.

Daripada situ, beliau berpeluang mempelajari cara pengurusan yang kewangan yang betul dan membantu orang lain yang memiliki masalah sama.

Pada 2014, beliau berjaya menubuhkan syarikatnya, Ieza Yusof Consultancy Sdn. Bhd.

Keberaniannya didorong oleh ilmu pengurusan kewangan dimiliki.

“Misi penubuhan syarikat ini adalah untuk membantu dan mendidik masyarakat bebas kewangan,” katanya.

Syarikatnya berperanan sebagai pusat latihan ilmu pengurusan dan menjadi penasihat bagi pengguna tentang pengurusan kewangan secara holistik.

Ketika awal operasi, keadaannya serba kekurangan dengan hanya seorang kerani..

“Saya hanya bergantung pada kerani bagi menguruskan kerja-kerja pentadbiran asas dan bagi orang luar yang tidak berapa menyokong kerja saya, mereka hanya memandang rendah,” katanya.

 

Misi kemasyarakatan
Di sebalik kejayaannya, beliau masih ingat tanggungjawab untuk membantu orang yang memerlukan.

Beliau bangga berkongsikan projek yang dijalankannya bersama kumpulannya dengan menubuhkan Madrasah Mabuz Al-Aqiyah.

Penubuhan institusi tersebut mampu membantu puluhan pelajar tahfiz belajar dalam suasana yang teratur dan berdaya saing.

Selain itu, katanya, dana wakalah yang diperoleh nya tidak pernah digunakan untuk kepentingan peribadi.

“Sebaliknya, wang tersebut diagihkan sepenuhnya bagi pendidikan pembangunan insan dan pelaksanaan program kebajikan yang mampu memberi manfaat kepada masyarakat,” katanya.

Beliau akan sentiasa meneruskan kerjasama aktif dengan pelbagai institusi pendidikan bagi memastikan pelajar tahfiz tidak hanya cemerlang dalam hafazan, malah, mereka juga dapat memiliki laluan akademik luas dengan berpeluang menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Baginya, hafiz al-Quran yang seimbang di antara ilmu agama dan akademik adalah aset paling berharga untuk masa depan ummah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN