15 usul tukar speaker ditolak - Utusan Malaysia

15 usul tukar speaker ditolak

AZHAR AZIZAN HARUN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sekurang-kurangnya 15 usul dikemukakan ahli Parlimen yang mahu Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun ditukar, tetapi semuanya ditolak.

Sumber memberitahu Utusan Malaysia, usul berkenaan diketepikan daripada dibahas pada sidang Parlimen yang dijadual semula bermula 13 September hingga 12 Oktober.

“Usul tukar Azhar (Yang Dipertua Dewan Rakyat) ada tidak kurang 15 usul,” kata sumber ketika dihubungi semalam.

Azhar adalah Yang Dipertua Dewan Rakyat yang dilantik Perdana Menteri kelapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Julai 2020.

Pelantikan Azhar ketika itu bagi menggantikan Tan Sri Mohamad Arif Md. Yusof yang memegang jawatan tersebut ketika Tun Dr. Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri buat
kali kedua 10 Mei 2018.

Azhar dibantu dua orang Timbalannya iaitu Datuk Seri Azalina Othman Said yang sudah meletak jawatan dan Datuk Mohd. Rashid Hasnon.

Peranan Azhar menjadi pertikaian berterusan beberapa ahli Dewan Rakyat yang mendakwa beliau tidak berani membuat keputusan mengikut Perlembagaan dan hanya menuruti arahan Muhyiddin dan Badan Eksekutif ketika itu.
Antara pembangkang bangkit mempertikaikan peranan Azhar ialah Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad, Ahli Parlimen Jelutong, R.S. N. Rayer dan Ahli Parlimen Bukit Gelugor Ram Karpal.

Pada 27 Ogos lalu Utusan Malaysia melaporkan, Azhar akan menjalan tugas seperti biasa pada persidangan akan datang sekiranya khidmat beliau masih diperlukan.

Azhar ketika itu memberitahu, ini kerana kedudukannya sebagai Yang Dipertua akan diputusan Perdana Menteri kesembilan.

“Saya menjadi Yang Dipertua di atas ihsan majoriti Dewan Rakyat. Terpulanglah kepada Perdana Menteri yang memimpin majoriti Dewan sekarang ini untuk menentukannya,” kata Azhar ketika itu.

Sementara itu, Azhar menerusi WhatsApp memberitahu, tiada tarikh usul undi percaya berhubung keabsahan Perdana Menteri Kesembilan dalam takwim terbaharu dikeluarkan Parlimen semalam.
“Itu saja takwimnya,” kata Azhar.

Dalam pada itu, Timbalan Yang Dipertua, Rashid turut mengesahkan bahawa pihaknya belum menerima sebarang pemakluman daripada Ketua Majlis yang juga ketua kerajaan berhubung usul undi percaya.
“Tidak ada terima. Sebab apabila Yang di-Pertuan Agong sudah melantik Perdana Menteri baharu, jadi Perdana Menteri adalah Ketua Majlis.

“Ini bermakna urusan pentadbiran adalah lebih kepada Ketua Majlis, ” kata beliau ketika dihubungi semalam.

Tarikh asal usul undi percaya terhadap keabsahaan Perdana Menteri kelapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin diputuskan pada 7 September, bagaimanapun Muhyiddin meletak jawatan pada 16 Ogos.

Muhyiddin diganti oleh Naib Presiden UMNO pada 21 Ogos lalu yang berjaya mendapat sokongan 114 ahli Dewan Rakyat menerusi surat akuan yang dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Meskipun menerima sokongan, Yang di-Pertuan Agong menitahkan Ismail Sabri supaya menentukan keabsahannya menerusi usul undi percaya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN