Cadangan reformasi PM tidak munasabah - DAPSY Melaka - Utusan Malaysia

Cadangan reformasi PM tidak munasabah – DAPSY Melaka

DANISH Zainudin (dari kiri) bersama Setiausaha DAPSY Kota Melaka, Danny Sim Yong Seng dan Bendahari DAPSY Melaka, Cassel Krishnan membuat laporan polis terhadap Perdana Menteri di Balai Polis Melaka Tengah, Melaka. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Cadangan reformasi institusi yang mahu dilakukan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika kemelut politik negara semakin meruncing adalah tidak munasabah dan dilihat hanya demi agenda peribadi semata-mata.

Setiausaha Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Melaka, Danish Zainudin berkata, usaha tersebut sebelum ini menjadi keutamaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ditumbangkan melalui Langkah Sheraton yang dipelopori Ahli Parlimen Pagoh itu.

Justeru, jelasnya, tindakan berkenaan tidak harus disokong memandangkan PH bersama rakan-rakan di blok pembangkang bersedia untuk melaksanakan reformasi institusi sekiranya kembali menerajui pentadbiran negara.

“Kami dengan tegas menggesa Perdana Menteri untuk bermuhasabah dan ingat kembali sumpah sebagai ahli Dewan Rakyat yang telah dilafazkan oleh beliau yang mana salah satu isi penting sumpah tersebut adalah untuk memelihara Perlembagaan Persekutuan.

“Kami juga berpandangan bahawa siri kegagalan kerajaan dalam menangani penularan wabak Covid-19 sudah cukup untuk menunjukkan jalan keluar kepada beliau dengan meletakkan jawatan.

“Dan membenarkan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menjalankan proses pemilihan Perdana Menteri baharu berdasarkan peruntukan Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Dalam pengumuman semalam, Muhyiddin mengemukakan tujuh perkara yang akan dilaksanakan kerajaan sekiranya usul undi percaya terhadap Perdana Menteri diluluskan.

Bagaimanapun, kenyataan balas Majlis Presiden PH memaklumkan, menolak tawaran yang diberikan dan yakin mereka mampu mengemukakan suatu perancangan yang lebih baik untuk menangani pandemik Covid-19, menghidupkan semula ekonomi dan menyelamatkan rakyat.

Tambah Danish, tindakan Muhyiddin yang masih enggan melepaskan jawatan meskipun sudah jelas beliau kehilangan majoriti adalah sangat dikesali.

Menurutnya, DAPSY Melaka mengutuk keras perbuatan Muhyiddin yang masih berusaha untuk menyogok secara terang-terangan ahli-ahli Dewan Rakyat daripada setiap parti.

“Dengan pengakuan yang dibuat ketika ucapan khas yang disiarkan semalam, yang berhormat Pagoh harus meletakkan jawatan berpandukan Perkara 43 (4) Perlembagaan Persekutuan yang merupakan undang-undang tertinggi negara.

“Beliau harus menyahut seruan meluhurkan Perlembagaan berdasarkan prinsip Rukun Negara serta tidak harus terus mengheret negara ke dalam krisis perlembagaan,” jelasnya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN