Persempadanan ikut populasi bukan kaum - Utusan Malaysia

Persempadanan ikut populasi bukan kaum

- GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Cadangan persempadanan semula kawasan pilihan raya perlu dibuat berlandaskan prinsip integriti dan tanpa manipulasi sempadan pilihan raya (gerrymandering) demi kepentingan pihak tertentu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, pensyarah Jabatan Sosiobudaya Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya, Prof Madya Dr. Awang Azman Awang Pawi berkata, persempadanan semula selain itu wajar dilihat dari segi pertambahan penduduk di kawasan bandar dan luar bandar, bukan hanya demi kemenangan parti atau individu.

“Jika kita terlalu ikut telunjuk kepentingan, sampai bila masalah ini (persempadanan semula) tidak selesai. Mungkin selepas ini jika berlaku tukar kerajaan, maka parti pemerintah buat persempadanan semula ikut kepentingan mereka. Maka sampai bila-bila masalah tidak akan selesai.

“Demokrasi perlulah dihormati, justeru persempadanan perlu jika ada pertambahan dan demi mengimbangi populasi penduduk agar permasalahan mereka dapat dibela sama ada di Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN),” katanya.

Pas mencadangkan persempadanan semula kawasan pilihan raya di beberapa negeri majoriti Melayu bagi menambah bilangan kerusi di Parlimen.

Perkara itu dibangkitkan beberapa pemimpin Pas termasuk Naib Presidennya, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah agar cadangan persempadanan semula itu sudah lama dibuat bagi menambah kawasan pilihan raya.

Sebaliknya, Awang Azman berkata, cadangan persempadanan semula di Kelantan dilihat bersesuaian kerana sudah lama negeri itu tidak melakukannya meskipun ia pernah disuarakan 10 tahun lalu.

“Faktor Kelantan tidak buat persempadanan sehingga sekarang kerana faktor politik. Jadi kalau kita ambil kira perkara ini, sampai bila isu (persempadanan) ini tidak selesai.

“Jadi biarlah relevan sedikit cadangan persempadanan. Jika mahu tambah wakil rakyat Melayu dalam Parlimen, saya berpandangan tidak wajar,” katanya.

Dalam pada itu, pensyarah Kanan Sains Politik Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mujibu Abd. Muis pula berkata, persempadanan tidak sesuai sekiranya bertujuan menambah wakil rakyat melibatkan kaum tertentu kerana langkah itu seolah-olah mencacatkan amalan demokrasi.

Katanya, demokrasi dibina tanpa mengambil kira warna kulit serta identiti kumpulan selain ingin memastikan suara mereka terus terbela oleh wakil rakyat.

Ujar beliau, tiada keperluan untuk menambah ahli parlimen Melayu kerana perwakilan kaum itu sudah mencukupi di Dewan Rakyat.

“Tidak kira kerajaan atau pembangkang, wakil rakyat Melayu sudah cukup dan seimbang dengan bangsa lain,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×