KUALA LUMPUR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kecewa dengan keputusan UMNO untuk tidak bekerjasama pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Bersatu Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid berkata, ini kerana keputusan tersebut sekaligus menyebabkan perpecahan Melayu dan berlakunya pertembungan tiga penjuru pada PRU-15 nanti.
Namun, katanya, beliau menghormati keputusan UMNO itu kerana ia merupakan amalan demokrasi kepada mana-mana parti politik di Malaysia.
“Sudah pasti kita rasa terkilan dengan keputusan itu kerana kita bercakap pasal perpaduan Melayu dan orang Melayu dah gembira dengan apa yang berlaku.
“Semua ini tidak lain tidak bukan, mereka hanya ingin merebut jawatan menteri dan timbalan yang dilihat lebih kepada kepentingan masing-masing.
“Kalau mereka fikirkan tentang perpaduan, isu keluar tak keluar, tak mahu bekerjasama, takkan timbul. Biar rakyat yang membuat keputusan yang terbaik nanti,” ujarnya lagi.

Rosol berkata, pihaknya akan mencari jalan terbaik untuk membuat rundingan semula dengan UMNO.
“Tetapi kalau UMNO tetap merasa mereka big brother, kita tak boleh kata apa-apa,’’ katanya.
Sementara itu, Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan mempersoalkan kesanggupan UMNO mengambil risiko yang boleh mengakibatkan Melayu hilang kuasa apabila menolak kerjasama dengan parti itu.
“Agenda perpaduan perlu diteruskan dan amat penting untuk kita mengekalkannya. Saya berharap apa jua perbezaan pandangan selesaikan di meja rundingan supaya dalam PRU-15 kita dapat duduk dalam satu platform, bendera atau tiket yang sama,’’ katanya. – UTUSAN










