
DENGAN tekad dan kesungguhan UMNO Pulau Pinang menolak kerjasama politik dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), masa depan pemimpin Bersatu dilihat mula terumbang-ambing.
Apatah lagi UMNO Pulau Pinang juga bersedia menentang Bersatu di setiap kerusi ditandingi parti itu pada pilihan raya umum ke-15 (PRU-15), menguatkan lagi cabaran kepada Bersatu untuk bertahan di Pulau Pinang.
Dari sudut sokongan rakyat dan akar umbi, kekuatan Bersatu di Pulau Pinang belum boleh menandingi apa yang dimiliki UMNO.
Meskipun dari segi bilangan kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bersatu mempunyai kelebihan, namun hakikat yang perlu diakui ia bukan sepenuhnya datang daripada sokongan pengundi parti itu.
Sebaliknya disebabkan calon yang memenangi kerusi itu melompat parti menyertai Bersatu.
Dua Parlimen dimiliki Bersatu di Pulau Pinang ketika ini iaitu Tasek Gelugor dan Nibong Tebal pada asalnya dimenangi calon UMNO dan PKR yang melompat parti.
Begitu juga dua kerusi DUN iaitu Seberang Jaya dan Sungai Acheh yang asalnya dimenangi wakil rakyat PKR tetapi kemudian menyertai Bersatu.
Kerusi yang benar-benar tulen milik Bersatu di Pulau Pinang hanya DUN Bertam dan Teluk Bahang. Itu pun dimenangi atas tiket Pakatan Harapan (PH) dalam senario dan suasana politik PRU-14 cukup berbeza dengan hari ini.
Berbeza dengan UMNO Pulau Pinang, parti itu hanya memiliki satu kerusi Parlimen iaitu Kepala Batas dan dua DUN iaitu Permatang Berangan dan Sungai Dua.
Namun berbeza dengan Bersatu, kemenangan UMNO di tiga kerusi itu datangnya daripada sokongan rakyat dan pengundi tulen parti tersebut.
Kelebihan itu tidak dimiliki Bersatu yang sehingga kini dilihat masih sukar dan terkial-kial untuk menarik sokongan rakyat terhadap parti tersebut termasuk di Pulau Pinang.
Dengan gendang PRU-15 semakin kuat dipalu, pemimpin Bersatu Pulau Pinang terutama Pengerusinya, Datuk Seri Sahabudin Yahaya sedang bersaing dengan masa untuk membuktikan mereka juga boleh mewakili suara orang Melayu di negeri itu.
Apa yang membolehkan Bersatu menarik nafas lega ketika ini hanyalah kesetiaan Pas meneruskan kerjasama dengan parti itu menerusi Perikatan Nasional (PN).
Sekiranya UMNO masih kekal dengan tekad untuk menentang Bersatu pada PRU-15, semua strategi politik itu tidak akan memberi apa-apa makna kerana pertandingan tiga penjuru hanya memberi kelebihan kepada pembangkang.
Sekiranya itu berlaku, maka hayat Bersatu di Pulau Pinang boleh berakhir lebih awal daripada yang dijangka. – UTUSAN










