KUALA LUMPUR: Meskipun darurat diisytihar, tidak bermakna Parlimen tidak boleh bersidang, tegas Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun.
Beliau berkata, perkara itu termaktub di bawah Perkara 150(1) Perlembagaan Persekutuan yang memberi kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk membuat ordinan bagi meluluskan perbelanjaan negara jika wujud keperluan segera dan mustahak.
“Kita tidak boleh mengandaikan Parlimen tidak boleh bersidang jika isytihar darurat, kerana Belanjawan merupakan perkara yang penting. Jadi, kita menetapkan 6 November ini penting untuk jalankan agenda kembali bersidang dengan pembentangan Bajet 2021,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini semalam.
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memaklumkan akan berunding dengan Raja-raja Melayu di Istana Negara dalam masa terdekat bagi membincangkan dan memperhalusi cadangan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dipercayai mengenai pengisytiharan darurat.
Bagaimanapun, cadangan yang dikemukakan kepada Seri Paduka itu tidak diperjelaskan kepada rakyat sehingga ramai pihak yang membuat spekulasi sendiri.
Azhar berkata, institusi Parlimen hanya menunggu pemakluman Istana Negara susulan tindakan Perdana Menteri menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi mempertimbangkan untuk melaksanakan darurat.
Katanya, setakat ini, pihaknya masih menjalankan tugas seperti biasa menyusun aturan mesyuarat dan meletakkan fokus Belanjawan 2021 yang akan dibentang 6 November ini.
“Kita akan meneruskan persidangan sehingga dapat apa-apa pengesahan mengenai apa yang akan berlaku. Selagi tidak dapat pengesahan, maka kita perlu jalankan tugas dengan andaian semua ahli Parlimen akan mula bersidang 2 November ini.
Mengakui persidangan kali ini agak mencabar berikutan pergelutan politik antara kerajaan dan pembangkang, Azhar berkata, beliau akan tetap menjalankan tugasnya sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat secara adil dan neutral tanpa menyokong mana-mana pihak.
“Usul-usul termasuk usul undi tidak percaya telah dibuat dan kita sedang menyusun mengikut peraturan mesyuarat. Kita sedang perhatikan kerana banyak sangat usul yang diterima. Kita akan susun mengikut peraturan mesyuarat.
“Persidangan kali ini, kita juga menetapkan semua yang terlibat untuk menjalani pemeriksaan Covid-19 pada 30 Oktober ini sebelum hadir ke sidang Parlimen,” katanya. – MINGGUAN










