KUALA TERENGGANU: Kemelut politik yang berlarutan dipercayai boleh diselesaikan jika Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim duduk semeja berunding bagi menjalin kerjasama.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata, langkah itu menjadi jalan terbaik yang boleh dipertimbangkan sekiranya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) tidakdilaksanakan dan usul undi tidak percaya di Dewan Rakyat menemui jalan buntu.
Bagaimanapun, menurut beliau, sebarang usaha rundingan dan gabungan antara Perikatan Nasional (PN) dan PH hanya menjadi kenyataan dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
“Mungkin Seri Paduka dengan kebijaksanaan baginda akan mencadangkan Muhyiddin berbincang dengan Anwar untuk mencari jalan tengah. Atau mungkin baginda mencadangkan sama ada boleh bekerjasama atau tidak untuk menyelamatkan negara.
“Ini keadaan yang luar biasa buat Malaysia dan memerlukan tindakan luar biasa demi kebaikan negara.
“Kalau kedua-dua pihak memiliki rasa tanggungjawab, saya rasa ini bukan satu perkara mustahil sedangkan dahulu pun orang rasa mustahil untuk UMNO-Pas duduk dalam satu kerajaan.
“Jadi untuk Muhyiddin bersama PH semula pun bukan perkara mustahil kerana beliau pernah bersama kita tetapi perlu bertolak-ansurlah,” katanya ketika ditemu bual Utusan Malaysia di pejabatnya di sini baru-baru ini.

Sebelum ini, beberapa pemerhati dan penganalisis politik berpendapat, pembentukan kerajaan perpaduan sebagai jalan terbaik menstabilkan semula politik yang semakin bercelaru.
Raja Kamarul Bahrin yang juga Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) negeri berkata, semua pihak perlu meneroka setiap pilihan dan berlapang dada sekiranya wujud keperluan untuk PN dan PH bergabung demi kebaikan rakyat serta negara.
Tambahnya, langkah sedemikian adalah yang terbaik berbanding mengadakan pilihan raya umum yang bakal mengakibatkan penularan Covid-19 dalam skala lebih besar dengan mengambil iktibar penganjuran Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, baru-baru ini.
“Saya ada sepenuh kepercayaan, Seri Paduka akan mencapai satu keputusan yang bijaksana untuk kebaikan Malaysia,” ujarnya. – UTUSAN










