Darurat atau tidak, PN kekal berkuasa sehingga PRU-15 - Utusan Malaysia

Darurat atau tidak, PN kekal berkuasa sehingga PRU-15

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Kerajaan Perikatan Nasional (PN) diyakini kekal mentadbir kerajaan Persekutuan sama ada ketika tempoh darurat jika perintah itu dilaksanakan atau selepas tempoh berkenaan tamat.

Dr Sivamurugan Pandian

Pakar sosiolgi politik, Prof. Dr. P. Sivamurugan berkata, ini kerana keutamaan perintah darurat itu adalah untuk menyelesaikan isu kesihatan iaitu mengekang pandemik Covid-19.

Beliau yang juga pensyarah di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM) berkata, pelaksanaan darurat juga dilihat sebagai alternatif kepada kerajaan PN menyelesaikan isu Covid-19 dengan lebih berkesan memandangkan situasi politik negara tidak stabil.

“Ini mungkin darurat di­sebabkan Covid-19 selain usaha menyelesaikan isu-isu kesihatan dan ekonomi serta gencatan politik.

“Peranan Parlimen masih boleh diteruskan bergantung kepada Perdana Menteri kerana kuasa eksekutif besar termasuk dari sudut kuasa perundangan dan kewangan,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini.

Menurut Sivamurugan, jika darurat diisytiharkan, barisan Kabinet sedia ada boleh dikekalkan atau diubah kepada kerajaan perpaduan dengan pelantikan pihak-pihak dengan kepakaran masing-masing.

Sementara itu, penganalisis politik Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Dr. Rusdi Omar berkata, tidak ada ke­perluan mengisytiharkan darurat yang mengundang persepsi negatif negara luar.

PROF. Madya Dr. Rusdi Omar

Katanya, kerajaan dan rakyat berkemampuan menguruskan pandemik Covid-19 dengan masing-masing bekerjasama mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan.

“Kerajaan kena jujur, apakah disebabkan Covid-19 atau ada masalah politik lain sehingga sanggup mencadangkan pelaksanaan darurat? Apa juga jenis darurat diumumkan, ia bakal memberi kesan tidak baik bukan sahaja dari segi ekonomi tetapi imej negara pun terjejas.

“Kerajaan kena teliti betul-be­tul perkara ini yang boleh me­ngundang rasa tidak tenteram dalam kalangan rakyat,” katanya. – MINGGUAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN