Tuntutan atas Sabah sekadar kempen pilihan raya - Utusan Malaysia

Tuntutan atas Sabah sekadar kempen pilihan raya

Sabah merekodkan eskport minyaksawit tertinggi pada Mac 2022. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tuntutan terhadap Sabah sepatutnya dilakukan ketika pembentukan Malaysia tahun 1963 andai Filipina benar-benar serius ingin mendapatkan semula wilayah itu.

Keghairahan Setiausaha Luar negara itu, Teodoro Locsin hanya dilihat cuba berlagak ‘wira’ kononnya untuk mengembalikan hak rakyat Sabah dan Filipina tetapi sebenarnya hanya kempen politik ketika menjelang pilihan raya negara itu.

Mengulas perkara itu, pakar undang-undang antarabangsa, Prof. Madya Dr. Mohd. Hazmi Mohd. Rusli berkata, Filipina secara terbuka telahpun mengiktiraf kedaulatan Malaysia ke atas Sabah sejak sekian lama.

Menurut beliau, buktinya apabila rakyatnya yang hendak memasuki negeri di bawah bayu itu perlu menggunakan pasport dan cop Jabatan Imigresen Malaysia.

“Sejak 1963, Sabah ditadbir urus dan berada dalam kedaulatan Malaysia tanpa bantahan mana-mana negara.

Persoalannya mudah. Dalam undang-undang antarabangsa apabila sesebuah negara telah melakukan kependudukan efektif terhadap sesuatu wilayah tanpa bantahan, wilayah itu menjadi sebahagian daripada keutuhan kedaulatannya.

“Saya rasa apa yang Filipina lakukan hanyalah sekadar kempen politik menjelang pilihan raya, sama seperti yang dilakukan Rodrigo Duterte empat tahun lalu. Tuntutan Filipina tidak perlu dilayan kerana Sabah adalah milik Malaysia dan ia diakui satu dunia,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Semalam, akhbar ini melaporkan Locsin memuat naik beberapa ciapan di laman Twitter selepas Malaysia memfailkan protes diplomatik menolak permohonan tuntutan Filipina.

Beliau menegaskan, walaupun terdapat ‘tawaran berulang’ secara agresif, Filipina tidak akan sesekali melepaskan tuntutan terhadap Sabah.

Dalam pada itu, geostrategis, Azmi Hassan berpendapat, selagi Manila tidak membuat tuntutan rasmi atau melakukan sesuatu secara tersurat, maka sukar untuk menuduh Filipina mencabuli perundangan antarabangsa.

Beliau berkata, ini kerana tuntutan mereka lebih menjerumus kepada senario politik terutama melibatkan Filipina Selatan.

Jelasnya, meskipun belum menyalahi perundangan antarabangsa, namun dari segi diplomasi terutamanya berkaitan ASEAN, tindakan Manila sebenarnya tidak wajar.

“Begitu aneh apabila Manila kemuka tuntutan kepada Mahkamah Tribunal The Hague pada 2016 dengan alasan tuntutan China terhadap Laut China Selatan adalah tidak sah kerana tuntutan Beijing berasaskan justifikasi sejarah.

“Ironinya, tuntutan Manila terhadap Sabah pula berasaskan sejarah. Nampak sangat Manila cuba raih manfaat politik tempatan mereka dalam isu Sabah.

“Berkait sikap Malaysia pula, sering kali Kuala Lumpur mengemukakan bantahan melalui struktur organisasi ASEAN dan sebenarnya tidak banyak boleh dilakukan sehingga Manila kemuka tuntutan rasmi melalui perundangan antarabangsa,” katanya.

Sementara itu, usaha Utusan Malaysia mendapatkan komen Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein gagal kerana beliau tidak boleh dihubungi. – ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya