
KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyifatkan dakwaan ada ‘peti undi tertentu dibuang ke sungai dan sengaja disimpan’ untuk mencatur atau mencongak keputusan mana-mana pilihan raya termasuklah pada malam 26 September ini hanyalah ‘cerita budak nakal’.
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Pengerusinya, Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, jika keadaan cuaca elok, perhubungan jalan darat dan udara baik dan tidak dikacau oleh pihak tidak bertanggungjawab, peti-peti undi untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 diyakini tiba di pusat-pusat penjumlahan undi selepas waktu Maghrib antara pukul 6.30 petang hingga 7 malam.
Masuk waktu Maghrib di sini adalah pada 6.14 petang.
“Sepanjang perkhidmatan saya di SPR termasuk sebagai setiausaha, kisah-kisah peti undi dibuang ke sungai, disimpan ini tidak pernah terjadi. Ini cerita dongeng ‘budak nakal’ yang disensasikan.
“SPR yakin proses pengundian dan pengiraan undi untuk PRN Sabah pada Sabtu ini akan berjalan lancar.
“Insya-Allah jika tidak ada ‘yang ganggu-gugat’, proses pengiraan akan bermula di balai atau tempat mengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing selepas pengundian ditutup pukul 5 petang atau 5.30 petang, sebelum dibawa ke pusat penjumlahan di lokasi yang ditetapkan dalam kawasan Parlimen DUN berkenaan.
“Kita jangkakan antara pukul 9.30 malam dan 10 malam semua peti undi dari 73 kerusi DUN akan sampai di lokasi penjumlahan. Dan keputusan parti yang memperoleh majoriti mudah membentuk kerajaan dijangka diumumkan seawal pukul 12 tengah malam,” katanya ketika dihubungi semalam.
Mengenai kelancaran kempen PRN Sabah yang memasuki hari kelapan semalam, Abdul Ghani berkata, semua prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi oleh parti-parti bertanding termasuklah amalan menjaga penjarakan fizikal.
Katanya, jika ada aduan pun ia berkisar kepada satu dua kes melibatkan pemasangan bendera-bendera parti dalam kawasan DUN yang tidak ditandingi calon mereka.
Mengenai dakwaan ada parti melaungkan sentimen ‘anti-Malaya, anti-Kuala Lumpur dan anti-Semenanjung’ dalam kempen mereka, kata Abdul Ghani, ia di luar bidang kuasa SPR untuk mengambil tindakan.
“SPR menganggap ia lebih kepada permainan politik semasa. Mungkin pada tarikan persaingan supaya calon masing-masing diterima pengundi,” katanya – UTUSAN










