Kedudukan Tun Juhar tak terjejas - Utusan Malaysia

Kedudukan Tun Juhar tak terjejas

TUN JUHAR MAHIRUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Perubahan tampuk pimpinan kerajaan negeri Sabah oleh Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dengan kerjasama Perikatan Nasional (PN) tidak menjejaskan kedudukan Yang di-Pertua Negeri itu, Tun Juhar Mahiruddin, sekalipun wujud dakwaan tidak sehaluan fahaman politik antara mereka.

Hal ini kerana, kuasa yang ada pada TYT menjangkaui batasan politik seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan Negeri Sabah.

Pakar Perlembagaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Madya Dr. Shamrahayu Ab. Aziz berkata, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong berkuasa melantik TYT atas nasihat Ketua Menteri bagi menjalankan kuasa eksekutif mengikut Perlembagaan negeri serta membuat keputusan dengan nasihat Kabinet.

“Sepatutnya tidak ada isu berkenaan kedudukan TYT apabila berlakunya pertukaran kerajaan kerana peranan Ketua Negeri adalah bebas daripada pengaruh politik sama seperti institusi beraja di negeri-negeri Melayu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Kenyataan itu tercetus susulan terdapat cakap-cakap yang mengatakan bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman, bakal menggantikan Tun Juhar sekiranya Barisan Nasional (BN) menang dalam Pilihan Raya Negeri Sabah.

Sabtu lalu, GRS-PN menang dengan majoriti mudah 38 daripada 73 kerusi DUN. Ini sekali gus mengetepikan peluang Parti Warisan Sabah (Warisan) pimpinan Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal mengekalkan pentadbirannya kerana hanya menang 32 kerusi.

Pada Disember 2018, DUN Sabah meluluskan pindaan Rang Undang-Undang Perlembagaan Negeri Sabah bagi menghapuskan tempoh perkhidmatan TYT Sabah selama dua penggal. Ini membolehkan Tun Juhar menyandang jawatan tersebut untuk tempoh lebih dua tahun.

Mengulas lanjut, Shahrahayu berkata, pertukaran TYT perlu dilihat dalam Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan Negeri Sabah.

Merujuk Perkara 1 (2) Bab 1 Ketua Negeri, Perlembagaan Negeri Sabah menyatakan, TYT hendaklah dilantik dalam tempoh empat tahun namun boleh pada bila-bila masa meletakkan jawatan.

“Bila katakan mengenai hal ini, ia termasuklah pemecatannya daripada jawatan oleh Agong atas sembah DUN yang disokong dengan undi tidak kurang daripada dua per tiga daripada jumlah bilangan ahlinya.

“Selain itu, TYT boleh meletakkan jawatannya bila-bila masa melalui surat yang ditandatangani olehnya ditujukan kepada Agong,” kata beliau. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN