Gerak solo jika gagal capai persefahaman - Utusan Malaysia

Gerak solo jika gagal capai persefahaman

RUZAINI RAIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Rundingan dan ruang kerjasama UMNO dan Pas di Perlis masih terbuka atas nama perpaduan Melayu-Islam.

Bagaimanapun, Setiausaha UMNO negeri, Ruzaini Rais berkata, beliau tidak menolak kemungkinan UMNO boleh bergerak solo di negeri ini sekiranya tiada persefahaman tercapai menerusi rundingan antara dua parti itu.

Beliau berkata, UMNO negeri tidak pernah menutup ruang kerjasama atau rundingan dengan Pas di Perlis.

“Kita tidak tutup ruang rundingan dan ia masih terbuka hingga hari ini. Namun sebagai contoh, dalam Muktamar Pas baru-baru ini, ada perwakilan Pas menegaskan tidak akan berunding memberi kawasan-kawasan dimenangi parti itu, maka kita pun sedia lawan.

“Jadi kalau persefahaman macam ini tidak dapat capai menerusi rundingan dijalankan, maka tidak mustahil kita akan gerak solo di Perlis,” katanya di sini semalam.

Sementara itu, beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Padang berkata, UMNO negeri antaranya akan membawa isu berkaitan pelaksanaan Projek Pelabuhan Darat Perlis (PIP) dan kawasan Perindustrian Lembah Industri Chuping (CVIA) yang dicetuskan semasa zaman pemerintahan Barisan Nasional (BN) pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 bermula minggu ini.

Katanya, pelaksanaan projek itu pada peringkat awal adalah bertujuan menyediakan peluang pekerjaan buat anak-anak tempatan namun sehingga kini perkara itu masih belum dijelaskan secara menyeluruh oleh kerajaan negeri di bawah pimpinan Perikatan Nasional (PN).

“UMNO negeri melihat projek yang dilaksanakan itu perlu dikembangkan dan diperhebatkan lagi demi manfaat anak-anak tempatan. PIP dan CVIA sudah beroperasi tapi peluang pekerjaan belum dijelaskan secara menyeluruh.

“Jadi isu ini mungkin akan kita bawa dalam PAU agar pelaksanaan projek itu dapat diperhebatkan lagi,” katanya.

PAU 2026 dijadual berlangsung selama empat hari dari 9 hingga 12 September ini di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×