Hadjar terlepas GP Sepanyol

Hadjar terlepas GP Sepanyol

ISACK Hadjar. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MADRID: Pemandu Red Bull, Isack Hadjar bakal terlepas Grand Prix (GP) Sepanyol hujung minggu ini apabila beliau meneruskan proses pemulihan daripada kecederaan pergelangan tangan.

Pelumba berusia 21 tahun itu mengalami keretakan halus pada pergelangan tangan ketika menjalani latihan tinju sepanjang rehat musim Formula Satu (F1).

Liam Lawson sekali lagi diberi kepercayaan untuk menggantikan Hadjar dan akan bergandingan dengan juara dunia, Max Verstappen untuk perlumbaan ketiga berturut-turut di Madrid.

Dalam pada itu, Yuki Tsunoda akan menggantikan Lawson di pasukan satelit Red Bull, Racing Bulls

Red Bull mengesahkan Hadjar tidak cukup cergas untuk kembali beraksi, namun menyifatkan proses pemulihannya menunjukkan perkembangan positif.

“Selepas beraksi untuk pasukan di Zandvoort dan Monza, Liam akan terus memandu bersama Max pada GP Sepanyol di Madrid hujung minggu ini.

“Keputusan ini dibuat ketika proses pemulihan Isack terus menunjukkan perkembangan positif. Walaupun masih belum bersedia untuk kembali ke kokpit, dia akan berada di Madrid bagi memberikan sokongan kepada pasukan,” kata Red Bull dalam satu kenyataan.

GP Sepanyol akan menjadi perlumbaan ketiga berturut-turut yang terpaksa dilepaskan Hadjar selepas dia turut tidak beraksi di GP Belanda dan Itali.

Tarikh kepulangannya masih belum dapat dipastikan, dengan F1 akan berehat selama dua minggu selepas GP Sepanyol sebelum memasuki aksi tiga perlumbaan berturut-turut bermula GP Azerbaijan pada 24 hingga 26 September. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×