Hati-hati tawaran saat akhir – Ahmad Zahid - Utusan Malaysia

Hati-hati tawaran saat akhir – Ahmad Zahid

AHMAD ZAHID HAMIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Jentera Barisan Nasional (BN) yang sudah mengharungi hari kelima berkempen diingatkan agar berwaspada dengan tawaran-tawaran baharu di saat-saat akhir oleh parti lawan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, setakat ini sokongan para pengundi di 41 Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi gabungan itu diyakini sudah beralih kepada BN.

Beliau mengingatkan, apa yang penting, mood (perasaan) pengundi-pengundi harus di­jaga sebaik-baiknya agar mes­kipun parti lawan memberikan tawaran-tawaran baharu saat akhir, momentum kepercayaan terhadap BN dan sekutunya tidak merosot.

“Saya berpuas hati dengan semua laporan yang diperoleh dan di mana kawasan-kawasan kita mempunyai saingan yang sengit, maka kita akan bergerak melalui kesesuaian. Tapi yang penting dari segi kerja-kerja di lapa­ngan kerana kita tahu mood di kalangan pengundi telah mula berubah ke arah BN.

“Tetapi kita takut di saat-saat akhir berlaku sesuatu, maka kesiapsiagaan kita adalah ke arah untuk menentukan bahawa mereka yang bersama dengan kita itu tidak boleh ditawarkan jika ada pihak lawan memberikan sesuatu.

“Kerana kita tahu bahawa menjadi satu amalan di Sabah sejak dahulu, bahawa tawaran-tawaran baharu saat akhir itu akan menarik pengundi-pe­ngundi,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat UMNO Sabah di sini semalam.

Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah menyaksikan pertembungan sengit di antara Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang dianggotai BN, Perikatan Nasional (PN) serta Parti Bersatu Sabah (PBS) dengan Parti Warisan Sabah (Warisan) serta gabungannya yang diketuai Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut memberi peringatan kepada rakan sekutu dalam GRS supaya tidak terlalu yakin untuk menang sehingga menjadikan isu calon ketua menteri sebagai taruhan modal ber­kempen.

Beliau berkata, perasaan ‘ter­lalu yakin’ hanya akan memakan diri yang mana membuatkan rakyat berasa jelik, lalu menolak GRS.

Ahmad Zahid menegaskan, apa yang penting buat masa kini adalah berusaha untuk menyeberangi garisan merah iaitu memperoleh 37 kerusi DUN untuk membentuk kerajaan negeri yang baharu.

“Ertinya bila kita sudah dapat 37 kerusi, barulah kita layak membentuk kerajaan negeri yang baharu. Dalam hal ini jangan terlalu yakin, rakyat melihat. Kalau kita terlalu ya­kin menang, rakyat akan tolak kita,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN