PRN Sabah: Pas sedia guna logo BN - Utusan Malaysia

PRN Sabah: Pas sedia guna logo BN

abdul hadi
ABDUL HADI AWANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARANG: Pas bersedia menggunakan logo Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang ditetapkan pada 26 September depan.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, parti itu bersikap terbuka dan tidak mempunyai sebarang masalah untuk menggunakan logo dacing BN, yang merupakan rakan setarafnya dalam Muafakat Nasional.

Katanya, perkara itu bukan sesuatu yang baharu kerana Pas pernah menggunakan logo BN pada Pilihan Raya Umum (PRU) 1974, ketika sama-sama terlibat dalam Parti Perikatan.

“Pas tidak ada masalah guna simbol BN dalam PRN Sabah. Itu terpulang kepada keputusan yang dibuat, kalau diputuskan guna simbol masing-masing, simbol masing-masinglah. 

“Pas pernah menggunakan logo parti lain pada 1974 ketika dalam BN dan ini bukan kali pertama,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat Presiden Pas di Rusila sejurus selesai menyampaikan kuliah Jumaat secara dalam talian di Masjid Rusila, di sini hari ini.

Baru-baru ini, Setiausaha Agung BN, Tan Sri Annuar Musa mengumumkan calon parti itu yang bertanding pada PRN Sabah akan menggunakan lambang parti iaitu dacing kerana pengundi sudah biasa dengannya.

Sementara itu, Abdul Hadi berkata, Pas turut terbuka sekiranya keputusan perbincangan gabungan Perikatan Nasional (PN) memutuskan untuk menggunakan lambang PN pada PRN Sabah.

Bagaimanapun, ketika diminta mengulas sejauh mana sokongan pengundi parti itu jika menggunakan logo BN mahupun lambang PN, beliau menyerahkan perkara tersebut kepada keputusan pilihan raya kelak.

Dalam perkembangan sama, katanya, buat masa ini jumlah kerusi Pas yang akan dipertandingkan dalam pilihan raya itu belum diputuskan lagi dan bergantung kepada hasil perbincangan bersama PN. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya