Rakyat jelata teruja jejak kaki ke Istana Arau

Rakyat jelata teruja jejak kaki ke Istana Arau

RIBUAN pengunjung memasuki istana yang indah dengan gemerlapan lampu hiasan bersempena Malam Kilauan Cahaya (MKC) Istana Arau, Perlis semalam. – UTUSAN/ IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Tepat pukul 9.30 malam sebaik sahaja pintu pagar dibuka menyaksikan puluhan ribu pengunjung memasuki istana bagi menyaksikan keindahan gemerlapan lampu hiasan bersempena Malam Kilauan Cahaya (MKC) Istana Arau berlangsung selama dua hari berakhir semalam.

MKC dianjur bersempena Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail Ke-83 membuka ruang kepada seluruh rakyat jelata menjejakkan kaki ke istana.

Sepanjang dua hari MKC, dianggarkan lebih 33,000 pengunjung terdiri daripada pelbagai kaum seluruh pelosok negeri ini hadir ke acara tradisi diperkenal sejak 2012 itu, yang bertujuan mengeratkan hubungan antara institusi diraja dengan masyarakat setempat.

Selain menyaksikan keindahan cahaya lampu, pelbagai pengisian menarik diatur seperti persembahan kebudayaan, pameran Galeri Diraja, pertunjukkan bunga api, pameran melibatkan agensi kerajaan serta badan beruniform dan aktiviti interaktif lain yang berjaya menarik perhatian pengunjung.

Pengunjung juga teruja menyaksikan pelbagai koleksi bersejarah termasuk hadiah-hadiah rasmi, artifak kenegaraan serta koleksi peribadi Tuanku Syed Sirajuddin dan Almarhum Raja-Raja Perlis yang terdahulu, sekali gus memberikan ruang kepada rakyat untuk lebih mengenali sejarah dan warisan institusi diraja Perlis.

Majlis dimulakan dengan pengisytiharan rasmi pembukaan pintu Istana Arau oleh Pengelola Bijaya Diraja Istana Arau, Redhauddin Kamaruzaman sebelum diteruskan dengan gimik persembahan cahaya yang memukau dan mencuri tumpuan para pengunjung.

Seorang pengunjung, Liyana Yusri, 30, berkata, dia tidak melepaskan peluang membawa dua anaknya menyaksikan keindahan cahaya lampu dan lanskap indah di pekarangan Istana Arau.

Katanya, sebelum ini, anak-anak hanya melihat istana dari luar sekiranya melalui jalan besar Arau dan akhirnya mereka dapat memasuki Istana Arau melalui penganjuran MKC tersebut.

“Program seperti ini juga menjadi kesempatan kepada rakyat untuk memasuki istana dan kami tidak melepaskan peluang untuk hadir. Istana penuh dengan pengunjung sepanjang dua hari malam kilauan cahaya tersebut,” katanya.

Seorang lagi pengunjung, Naim Kamarulzaman, 35, berkata, dia dan anak-anak begitu teruja melihat keindahan cahaya lampu menerangi kawasan Istana Arau.

“Selain itu, kami juga dapat melihat sendiri sejarah berkaitan institusi diraja Perlis yang terdapat di Galeri Diraja. MKC yang diadakan setiap kali sambutan ulang tahun keputeraan Raja Perlis ini sememang­nya sangat dinantikan,” kata­nya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN