KUALA TERENGGANU: Hasil bedah siasat terhadap tiga mangsa tragedi pelantar minyak Sepat, semalam mendapati setiap daripada mereka meninggal dunia akibat punca berbeza.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, mangsa pertama, Nik Muhammad Hafifi Ab. Majid disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah pada bahagian abdomen dipercayai akibat hentakan kuat.
“Mangsa kedua, Muhamad Faezuan Hakim Mohammad Bustaman pula meninggal dunia akibat kecederaan serius di bahagian leher manakala Ahmad Fiqri Zakaria disahkan maut akibat lemas,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik, Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini hari ini.
Azli berkata, proses bedah siasat terhadap ketiga-tiga mangsa bermula pukul 10 pagi dan selesai sepenuhnya pada pukul 2.15 petang.
Katanya, semua jenazah telah dituntut oleh ahli keluarga masing-masing untuk proses pengebumian.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12.50 tengah hari semalam, mereka terlibat dalam kemalangan ketika kerja penyelenggaraan dijalankan di fasiliti penyimpanan dan pemunggahan terapung (FSO) Sepat di luar pesisir pantai Terengganu, iaitu 150 kilometer dari perairan Kuala Terengganu.
Semua mangsa menaiki sebuah bot penyelamat yang berada di atas platform untuk turun ke laut bagi menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan di bahagian bawah platform berkenaan. Bagaimanapun, tali atau hook yang dipasang pada bot itu dikatakan putus menyebabkan kesemua mangsa terjatuh ke dalam laut bersama bot tersebut. – UTUSAN










