Pelajar bunuh rakan dibebaskan, alami skizofrenia

Pelajar bunuh rakan dibebaskan, alami skizofrenia

Pelajar bunuh rakan
KITSON Fong ditemui apabila selesai menghadiri prosiding keputusan akhir kes pembelaan remaja lelaki tikam pelajar perempuan, di pekarangan Kompleks Mahkamah Sultan Salahuddi Abdul Aziz Shah, di Shah Alam, hari ini. - UTUSAN / SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Pelajar lelaki dituduh membunuh remaja perempuan dekat sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, Petaling Jaya diarahkan menjalani rawatan psikiatri oleh Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini.

Perintah tersebut dikeluarkan oleh Hakim Adlin Abd. Majid selepas memutuskan pelajar terbabit dibebaskan daripada pertuduhan membunuh pada prosiding keputusan akhir kes pembelaan.

Peguam yang mewakili tertuduh, Kitson Fong berkata, keputusan tersebut dibuat selepas mahkamah mendapati anak guamnya itu tidak waras ketika kejadian seperti dalam Seksyen 84 Kanun Keseksaan kerana mengalami skizofrenia.

“Hakim dalam alasan penghakimannya membentangkan alasan-alasan bagi setiap aspek sejak dari peringkat pendakwaan hinggalah dipanggil untuk bela diri.

“Terdapat ketidakwarasan perubatan (medical insanity), justeru ketidakwarasan perundangan (legal insanity) juga berjaya (dibuktikan),” katanya ketika ketika ditemui diluar mahkamah selepas tamat prosiding itu.

Prosiding kes itu dijalankan secara tertutup mengikut peruntukan Akta Kanak-Kanak 2001.

Dalam prosiding pembelaan, seramai dua orang saksi dipanggil termasuk Pakar Perunding Psikiatri Forensik, Dr. Ian Lloyd Anthony.

Jelas Kitson, masalah psikologi yang dialami tertuduh adalah disahkan oleh pakar psikiatri itu menerusi laporan bertulis dan juga dinyatakan kepada mahkamah semasa memberi keterangan serta soal balas.

“Dia memang disahkan ada skizofrenia yang bebentuk sangat serius dan agresif pada masa itu (sehingga) tertuduh ingat dia bukan diri sendiri dan mendengar suara (untuk melakukan pembunuhan). Itu tidak dinafikan oleh pihak pendakwaan,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan pelajar terbabit dijangka akan menjalani rawatan di Hospital Bahagia, Ulu Kinta sebelum sebarang keputusan pembebasan akan ditentukan dengan perkenan Sultan Selangor seperti mana di bawah Akta Kanak-Kanak 2001.

“Bagaimanapun, pihak keluarga berharap anak mereka dapat menjalani pembelajaran atau persekolahan ketika sedang menerima rawatan kerana pelajar berkenaan dijangka menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dua tahun lagi.

“Jadi, keluarga berharap dapat memberikan buku-buku dan sebagainya dengan harapan dia boleh bersekolah seperti ‘homeschool’ dan seterusnya diberi pengampunan,” tambahnya.

Tertuduh diwakili Foong, Chew Jee San, Angel Choo dan Yan Zhi Wei, manakala pihak pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin.

Pada 13 Ogos lalu, mahkamah memerintahkan pelajar lelaki itu membela diri apabila mendapati pendakwaan berjaya membuktikan keraguan munasabah pada akhir kes pendakwaan selepas 11 orang saksi dipanggil untuk memberi keterangan.

Sebelum itu, dia mengaku tidak bersalah pada Februari lalu atas dakwaan membunuh rakan sekolahnya berusia 16 tahun di tandas perempuan SMK Bandar Utama Damansara 4, Bandar Utama, Petaling Jaya, antara pukul 9.20 pagi hingga 9.35 pagi pada 14 Oktober tahun lalu.

Dia dituduh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun serta sekurang-kurangnya 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Kanak-kanak tidak boleh dikenakan hukuman mati seperti yang tertakluk di bawah Seksyen 97(1) Akta Kanak-Kanak 2001, sebaliknya Seksyen 97(2) akta sama memperuntukkan kanak-kanak yang disabitkan kesalahan hendaklah ditahan di penjara atas perkenan Raja atau Yang di-Pertua Negeri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×