KUALA LUMPUR: Isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor menafikan beliau cuai, mengabai dan gagal memulangkan 44 barang kemas milik sebuah syarikat pemborong barang kemas di Lubnan yang diberikan kepadanya.
Ujarnya, beliau telah menyimpan kesemua barang itu dengan selamat sepanjang barangan mewah itu ada bersamanya.
Tambahnya, kesemua barang kemas itu tidak ada lagi bersamanya selepas ia dirampas oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) semasa serbuan pada 17 Mei 2018.
Terdahulu, Rosmah dalam penyataan saksinya menyatakan tukang emas dari Lubnan, Global Royalty Trading SAL (Global Royalty) telah menghantar 43 barangan kemas bernilai RM67 juta kepadanya pada tahun 2018 tanpa sebarang kewajipan untuk membelinya.
Ujarnya, Global Royalty tidak melampirkan sebarang dokumen bersama penghantaran barangan kemas itu dan Rosmah juga tidak pernah meminta barangan itu dihantar kepadanya.
“Pada masa material itu, saya adalah isteri kepada Perdana Menteri Malaysia. Oleh itu, 43 barangan kemas tersebut dihantar kepada saya atas dua sebab. Pertama, ia dihantar kepada saya untuk pemeriksaan dan/atau tontonan dengan harapan atau jangkaan bahawa saya akan membeli barangan kemas tersebut.
“Kedua, ia dihantar dengan tujuan dan niat supaya saya memakai atau menggunakan barangan kemas tersebut agar ia dapat menarik, meraih dan memperoleh publisiti serta kredibiliti melalui saya dalam kalangan pembesar tempatan dan luar negara serta golongan elit.
“Oleh itu, 43 barangan kemas tersebut dihantar kepada saya untuk kepentingan plaintif sendiri dan sebagai satu bentuk promosi berkaitan barangan kemas itu,” katanya dalam kenyataan saksinya.
Perbicaran di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Quay Chew Soon bersambung esok.
1MDB dan lima anak syarikatnya serta lima entiti pesisir luar telah memfailkan saman terhadap Rosmah yang menuntut kembali AS$346 juta didakwa diseleweng untuk pembelian barangan mewah
Lima anak syarikat tersebut ialah SRC International Sdn. Bhd., 1MDB Energy Holdings Ltd., 1MDB Energy Ltd., 1MDB Energy (Langat) Ltd. dan Global Diversified Investment Company Ltd. (1MDB Global Investments Ltd.) sebagai plaintif kedua hingga keenam.
Entiti pesisir luar yang turut menjadi plaintif ialah Affinity Equity International Partners Limited, Alsen Chance Holdings Limited, Blackrock Commodities (Global) Limited, Blackstone Asia Real Estate Partners Limited dan Brightstone Jewellery Limited.
Plaintif mendakwa bahawa barangan mewah berkenaan, iaitu antara lain ribuan item jenama barang kemas, jam tangan dan beg tangan, telah dibeli oleh atau untuk Rosmah, bukan dengan wang sendiri tetapi dengan dana yang diselewengkan daripada anak syarikat 1MDB.
Menurut plaintif, dana itu disalurkan melalui pelbagai entiti luar pesisir termasuk Affinity Equity, Alsen Chance, Blackrock, Blackstone dan Brightstone sebelum dibayar kepada 48 vendor berbeza daripada 14 bidang kuasa bagi pembelian barangan mewah berkenaan iaitu sebanyak 320 bayaran berjumlah AS$346,010,489.
Blackrock dan Blackstone adalah syarikat dikaitkan dengan sekutu ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low, iaitu Eric Tan.
Sehubungan itu, mereka menuntut perisytiharan bahawa 1MDB dan lima anak syarikatnya (plaintif pertama hingga keenam) mempunyai kepentingan proprietari berekuiti atau kepentingan benefisial terhadap terhadap barangan mewah berkenaan yang dapat dikesan dalam pemilikan Rosmah. – UTUSAN










