PETALING JAYA: Empat daripada 12 lukisan mewah bernilai lebih RM140 juta (AS$30 juta) yang dikaitkan dengan skandal 1MDB telah tiba di negara ini.
Lukisan berkenaan sebelum ini transit di beberapa buah negara termasuk Hong Kong, kini berada dalam pegangan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Utusan Malaysia difahamkan, kesemua lukisan tersebut ditempatkan di Ibu Pejabat SPRM bagi menjalani proses selanjutnya.
Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin, mengesahkan perkara itu.
Bagaimanapun, maklumat terperinci mengenai ketibaan lukisan berkenaan tidak dapat didedahkan memandangkan ia merupakan sebahagian daripada siasatan.
Pada 9 April lalu, Mohamad Zamri Zainul Abidin memaklumkam lukisan berkenaan telah melalui beberapa negara sebelum tiba di Hong Kong.
Karya seni itu perlu melalui beberapa proses transit antarabangsa.
Pada 13 Disember 2025, usaha pemulihan aset 1MDB terus diperkukuh apabila Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (USDOJ) bersetuju untuk mengembalikan koleksi lukisan bernilai lebih AS$30 juta kepada Malaysia.
Perkara itu dipersetujui hasil dua siri perbincangan rasmi SPRM bersama Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) dan USDOJ yang berlangsung di Washington dan New York pada 9 dan 11 Disember 2025.
Antara perkara-perkara utama yang dibincangkan adalah berkaitan pemulihan aset 1MDB melibatkan usaha mengembalikan lukisan bernilai tinggi yang telah dibeli Jasmine Loo dan kini berada di bawah kawalan USDOJ.
Dianggarkan 12 lukisan milik Jasmine Loo yang dipegang oleh firma Christie’s dan Sotheby’s Auction House, Amerika Syarikat (AS) antaranya Pablo Picaso (1961), L’Ecuyere et les clowns; Joan Miró,(1953) Composition; William H Bailey (b.1930), Still Life.
Selain itu, lukisan Alexander Calder (1898-1976), Studies for Sculpture; dan Henri Matisse (1869-1954), Femme Assise yang kesemuanya bernilai melebihi AS$30 juta. – UTUSAN










