KUALA LUMPUR: Mahkamah Majistret di sini hari ini mengenakan hukuman denda RM3,500 terhadap seorang lelaki yang tular ditangkap selepas mengintai seorang wanita dalam tandas di Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Sentul, minggu lalu.
Majistret Aina Azhahra Arifin menjatuhkan hukuman itu selepas menerima pengakuan bersalah tertuduh, Abdul Samad Rosman, 23, selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.
Sekiranya gagal membayar denda itu, pembantu kedai makan itu boleh dipenjara selama empat bulan. Tertuduh membayar denda berkenaan.
Mengikut pertuduhan, Abdul Samad didakwa telah mengaibkan kehormatan seorang wanita berusia 44 tahun dalam tandas di LRT Sentul di sini, pada pukul 8 pagi, 16 April lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara lima tahun atau denda atau kedua-dua sekali.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Shafika Azwa Fikri memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran terhadap Abdul Samad mengambil kira keselamatan dan kepentingan awam.
Bagaimanapun, Abdul Samad memohon dikenakan hukuman ringan atas alasan dia tidak berkemampuan selain telah insaf dan kesal atas perbuatannya.
Sebelum ini, tular di media sosial seorang wanita trauma apabila diintai ketika sedang menggunakan tandas di Stesen LRT Sentul.
Mangsa turut berkongsi rakaman wajah suspek yang berjaya ditahan oleh polis bantuan berdekatan LRT Sentul tersebut sebagai bukti dan amaran kepada orang ramai untuk berhati-hati. – UTUSAN










