GEORGE TOWN: Seorang pengawal keselamatan dan wanita bujang masing-masing dipenjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan kelucahan melampau di tanah perkuburan Cina di Batu Gantung, Ayer Itam, pada 22 Mac lalu.
Tertuduh M. Jegathesan, 58, yang juga merupakan bapa kepada dua orang anak dan Halila Abu Bakar, 37; kedua-duanya mengaku bersalah di hadapan Majistret Nadratun Naim Mohd. Saidi.
Kedua-dua tertuduh secara bersama-sama telah melakukan perbuatan kelucahan melampau di kawasan tanah perkuburan Cina yang merupakan satu tempat awam di Batu Gantung, Ayer Itam pada pukul 8.30 pagi, 22 Mac lalu.
Pendakwaan terhadap mereka dibuat mengikut Seksyen 377D Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan. Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum penjara selama tempoh yang boleh sampai dua tahun.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Lau Shavin, memohon mahkamah mengenakan hukuman yang memberi pengajaran sebagai teladan kepada kedua-dua tertuduh serta orang lain agar tidak mengulangi kesalahan serupa pada masa depan.
Beliau juga memaklumkan mahkamah bahawa tertuduh lelaki tersebut berstatus suami orang.
“Kedua-dua tertuduh juga mempunyai pegangan agama masing-masing yang melarang perbuatan sedemikian. Insiden ini juga berlaku di kawasan awam. Kami memohon mahkamah mengambil kira perkara ini serta kepentingan awam,” katanya.
Kedua-dua tertuduh diwakili peguam, R. Purantharan memohon agar mahkamah mengenakan hukuman yang minimum kepada kedua-duanya memandangkan mereka telah mengaku bersalah dan menjimatkan masa mahkamah.
“Halila tidak bekerja dan masih bujang serta tinggal bersama keluarga manakala Jegathesan pula bekerja sebagai pengawal keselamatan dengan gaji RM1,800 sebulan serta perlu menyara keluarga kerana isterinya sedang menderita sakit angin ahmar serta mempunyai dua orang anak,” katanya.
Sebelum ini, polis menahan seorang lelaki dan wanita yang disyaki terlibat dalam perbuatan lucah di sebuah tanah perkuburan selepas video kejadian itu tular di media sosial. – UTUSAN










