KUALA LUMPUR: Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan membunuh seorang wanita, awal bulan lalu.
Mengikut pertuduhan, Syed Faizal Said Alwi, 46, didakwa telah membunuh seorang wanita yang tidak dapat dikenal pasti identitinya di antara pukul 6.35 dan 6.36 pagi, 9 Februari lalu di hadapan sebuah premis di Jalan Sentul, dekat sini.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan maksimum 40 tahun serta hendaklah dikenakan hukuman sebat tidak lebih 12 sebatan jika tidak dihukum gantung.
Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Timbalan Pendakwa Raya, Amritpreet Kaur Randhawa kemudian memohon agar Syed Faizal dihantar ke Hospital Bahagia, Ulu Kinta untuk penilaian psikiatri.
Majistret Farah Nabihah Dan membenarkan permohonan tersebut dan turut menetapkan 19 Mac ini untuk sebutan semula kes bagi mengetahui laporan penilaian tersebut.
Sebelum ini media melaporkan, seorang wanita dipercayai gelandangan ditemui maut dalam keadaan berlumuran darah di bahagian kepala di hadapan sebuah sekolah di Jalan Sentul, pada 9 Februari lalu.
Ketua Polis Daerah Sentul ACP Ahmad Sukarno Mohd Zahari dilaporkan berkata, mangsa dipercayai berusia dalam lingkungan 50-an hingga 60-an ditemukan terbaring dengan kecederaan parah pada bahagian kepala dan kematian disahkan pegawai perubatan Hospital Kuala Lumpur.
“Pemeriksaan fizikal mendapati mangsa mengalami luka sepanjang empat sentimeter pada bahagian kepala sebelah kanan atas telinga serta bengkak pada kelopak mata,” katanya. – UTUSAN










