Menantu, mentua kaki samun dijel 113 bulan

Menantu, mentua kaki samun dijel 113 bulan

MUHAMMAD Firdaus Muhammad Nazir (dua dari kanan) dan Rasulden Jamal (dua dari kiri) dibawa ke Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret Alor Setar, Kedah semalam bagi didakwa atas enam pertuduhan melakukan pelbagai keselahan jenayah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Seorang lelaki dan bapa mentuanya dihukum penjara berjumlah keseluruhan 113 bulan setelah mengaku bersalah terhadap pelbagai kesalahan jenayah termasuk merompak, pecah rumah dan menyimpan harta curi, sejak November tahun lalu.

Tertuduh, Muhammad Firdaus Muhammad Nazir, 24, dan Rasulden Jamal Mohamed, 47, membuat pengakuan bersalah terhadap enam pertuduhan termasuk tiga kesalahan secara bersama di Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret, di sini.

Bagaimanapun, tempoh ke­seluruhan Muhammad Firdaus dipenjara adalah tiga tahun dan Rasulden pula selama 18 bulan selepas mengambil kira tarikh hukuman serentak sejak mereka ditangkap dan disabitkan ke­salahan.

Dalam prosiding di Mahkamah Sesyen, Hakim Sharmila Abdul Samad menjatuhkan hukuman tiga tahun penjara terhadap Muhammad Firdaus selepas me­ngaku merompak beg tangan milik seorang wanita.

Lelaki yang bekerja sebagai jurukimpal itu dituduh melakukan rompak samun beg tangan mengandungi kad pengenalan, kad bank, wang tunai RM150 dan tablet berjenama Apple milik wanita berusia 21 tahun, pada pukul 11.50 pagi, 18 Disember lalu berdekatan sebuah stesen minyak di Jalan Putra, di sini.

Pertuduhan dikemukakan me­ngikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda atau sebat.

Sementara itu, dia turut me­ngaku bersalah di Mahkamah Majistret, di sini terhadap kesalahan pecah rumah di Taman Sri Derga, Jalan Datuk Kumbar, kira-kira pukul 4 pagi, 18 November lalu.

Majistret Nur Syifa Mohd. Hamzah menjatuhkan hukuman penjara dua tahun selepas disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda.

Bagi dua pertuduhan bersama dengan Rasulden, mereka didakwa menyimpan harta curi iaitu telefon bimbit jenis Samsung dan enjin motosikal Modenas Kriss, antara pukul 2.30 pagi hingga 4 pagi, 20 Disember lalu di sebuah rumah di Lorong Ayer Puteh, Jalan Kota Tanah, di sini.

Nur Syifa memerintahkan kedua-dua tertuduh dipenjara selama 18 bulan untuk dua pertuduhan tersebut yang dikemukakan di bawah Seksyen 411 Kanun Keseksaan.

Rasulden turut dipenjara tujuh bulan bagi satu lagi pertuduhan di bawah seksyen itu kerana menyimpan harta curi iaitu sebuah beg, empat keping mata wang asing pelbagai negara dan dua utas jam tangan termasuk berjenama Rolex di lokasi dan tarikh yang sama.

Terdahulu di hadapan Majistret Eliana Ismail, Muhammad Firdaus dan Rasulden dipenjara lima bulan selepas mengaku bersama-sama menyimpan te­lefon jenis Vivo yang diragut daripada seorang warga Myanmar.

Kesemua pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nasruna Anhar Nordien; Norfatin Azera Norhisham dan Nur Huda Diyanah Amir Hamzah, sementara tertuduh diwakili peguam Saidina Khatijah Zaharah Khairulnisak Mohd. Noor daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan.

Pada 23 Disember lalu, akhbar ini melaporkan polis menahan seorang lelaki bersama bapa mentuanya yang disyaki terlibat dalam kes ragut, sekali gus menyelesaikan beberapa jenayah itu di sekitar Kota Setar, sejak tiga bulan lalu.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×