KUALA LUMPUR: Aktivis Pembela Tanah Air (Peta), Chegubard dan pemilik akaun Youtube, Papa Berry Studio diperintahkan untuk membayar ganti rugi berjumlah RM550,000 kepada ahli korporat, Datuk Seri Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak kerana memfitnah lelaki tersebut.
Keputusan yang dibuat oleh Pesuruhjaya Kehakiman, Arziah Mohamed Apandi itu berkait saman yang difailkan oleh Farhash pada 26 Mei 2025 yang menamakan Chegubard atau nama sebenarnya, Badrul Hisham Shaharin dan pencipta kandungan itu, Nurpais Ismail sebagai defendan pertama dan kedua.
“Ini merupakan keputusan selepas perbicaraan penuh yang mana kedua-dua defendan tidak memasukkan sebarang kehadiran.
“Defendan pertama (Badrul Hisham) menggambarkan plaintif sebagai seseorang yang mencapai kejayaan, termasuk dalam isu perpecahan, melalui hubungan politik dan bukannya berdasarkan merit, yang memanipulasi proses politik untuk kepentingan peribadi, serta yang melambangkan rasuah dan ego dalam politik.
“Kenyataan-kenyataan tersebut menuduh plaintif terlibat dalam rasuah, kronisme, manipulasi proses demokrasi dan penyalahgunaan kuasa, yang merupakan antara tuduhan paling serius yang boleh dibuat terhadap seorang tokoh awam dalam mana-mana masyarakat,” katanya.
Selain itu, Arziah menyatakan kenyataan-kenyataan fitnah itu dengan jelas merujuk kepada plaintif yang mana Badrul Hisham secara nyata menamakan beliau berulang kali sepanjang temu bual tersebut dengan menggunakan nama yang dikenali umum, Farhash.
Tambahnya, defendan pertama membuat kenyataan-kenyataan fitnah tersebut semasa satu temu bual yang dirakam, dengan pengetahuan bahawa ia akan disiarkan kepada khalayak yang luas, dan peranan defendan kedua (Nurpais) adalah setara dari segi penerbitan, sebagai pengendali platform dan individu yang menjalankan temu bual tersebut.
“Defendan kedua kemudiannya memburukkan lagi keadaan dengan menambah tajuk sensasi yang direka untuk memaksimumkan ketegangan dan jumlah tontonan, sekali gus memburukkan kemudaratan yang disebabkan oleh penerbitan tersebut. Motivasi defendan kedua bagi penerbitan ini kelihatan didorong oleh keuntungan komersial.
“Walaupun menerima surat tuntutan daripada plaintif pada 12 Mei 2025, kedua-dua defendan tidak mengambil sebarang langkah untuk menurunkan video tersebut atau mengurangkan kemudaratan. Penerbitan berterusan selepas notis ini menunjukkan satu pilihan yang disengajakan untuk terus melakukan fitnah.
“Oleh itu, saya mendapati bahawa penerbitan tersebut jelas dan sepenuhnya dibuktikan defendan pertama sebagai pencetus kenyataan-kenyataan fitnah dan defendan kedua sebagai penerbit yang menyebarkan kenyataan-kenyataan tersebut kepada khalayak yang luas melalui platform YouTube beliau,” katanya.
Arziah berkata kenyataan-kenyataan fitnah tersebut telah menyebabkan kerosakan yang serius dan besar terhadap reputasi plaintif merentasi pelbagai aspek kehidupannya, peribadi, politik, profesional dan komersial.
Menurut saman yang difailkan, Badrul Hisham telah memberikan keterangan dalam satu tembual yang kemudiannya disiarkan di Youtube Papa Berry Studio pada 7 Mei 202.
Kenyataan-kenyataan fitnah itu antara lain menggambarkan plaintif sebagai seseorang yang sering mempengaruhi Perdana Menteri, tidak layak memegang sebarang jawatan dalam syarikat tersenarai awam, tidak bermoral dan turut terlibat dalam perebutan kuasa dalam parti PKR.
Plaintif menyatakan, ekoran daripada penerbitan kenyataan-kenyataan fitnah telah menyebabkan dirinya dipandang rendah dan penuh prasangka serta telah menimbulkan kebencian, kemarahan dan sentimen permusuhan
awam terhadap Plaintif.
Selain menuntut Mahkamah mengisytiharkan kenyataan yang dikeluarkan dan diterbitkan itu sebagai fitnah, Farhash antara lain memohon perintah melarang kedua-dua defenda daripada terus menerbitkan kenyataan tersebut dalam apa jua medium.
Plaintif turut memohon ganti rugi am, teladan dan teruk serta faedah lima peratus setahun atas jumlah ganti rugi sehingga penyelesaian penuh. Turut dimohon ialah kos dan relif-relif lain yang difikirkan wajar oleh Mahkamah.
habis..









