SUNGAI PETANI: Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh nenek dan cuba membunuh moyangnya, minggu lalu.
Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Muhammad Farhan Zulkefli, 21, setelah dua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Mohamad Azlan Basri.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa membunuh Halimah Hashim, 65, pada pukul 6.40 hingga 6.53 petang di sebuah rumah dekat Kampung Baru Bakai, Kuala Ketil, Baling pada 16 Disember lalu.
Disebabkan itu, dia didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan hendaklah dihukum mati atau penjara maksimum 40 tahun dan hendaklah disebat minimum 12 sebatan.
Bagi pertuduhan kedua di bawah Seksyen 307 kanun sama, dia didakwa menetak Mariyam Ariffin, 80, menggunakan sebilah parang di lokasi, masa dan tempat yang sama.
Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan penjara maksimum 10 tahun dan denda, jika menyebabkan kecederaan mangsa, tertuduh boleh dikenakan penjara sehingga 20 tahun.
Timbalan Pendakwa Raya, Nur Hazwani Md Noor memaklumkan bahawa tertuduh sedang menerima rawatan psikiatri di Hospital Bukit Mertajam, Pulau Pinang dan membuat permohonan mengikut Seksyen 342.
Mahkamah kemudian membenarkan permohonan mendapatkan laporan psikiatri tertuduh di Hospital Bahagia Ulu Kinta pada 6 Januari tahun hadapan.
Akhbar ini pada 17 Disember lalu melaporkan, suspek yang merupakan orang kurang upaya (OKU) intelektual tidak mempunyai rekod kesalahan lampau dan siasatan awal terhadapnya mengaku telah menikam serta menetak nenek dan moyangnya. – UTUSAN









