KUALA LUMPUR: Tuntutan saman oleh 23 mangsa dan ahli keluarga korban kejadian tanah runtuh di Batang Kali, Selangor pada 2022 diteruskan dengan perbicaraan penuh.
Ini selepas Mahkamah Tinggi, Shah Alam pada 31 Oktober lalu menolak permohonan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) agar saman itu diputuskan dengan menjawab persoalan undang-undang dan bukannya melalui perbicaraan.
Perkara itu dinyatakan oleh Pesuruhjaya Kehakiman, Elain Yap Chin Gaik dalam penghakiman penuh beliau bertarikh 13 November lalu.
Dalam kejadian yang berlaku pada 16 Disember 2022, kejadian tanah runtuh itu berpunca daripada hujan lebat sehingga menyebabkan kegagalan cerun dan mengorbankan 31 nyawa membabitkan 18 individu dewasa dan 13 kanak-kanak.
Menurut penghakiman tersebut, persoalan-persoalan yang dikemukakan oleh PKPS bergantung kepada fakta-fakta material yang masih belum diputuskan, menjadikannya tidak sesuai diputuskan secara terus (summarily decided).
“Pertikaian utama dalam kes ini ialah sama ada tanah runtuh di Zon Terjejas disebabkan oleh perbuatan seorang atau lebih defendan yang merupakan punca kecederaan kepada plaintif.
“Terdapat persoalan dalam kes ini mengenai sejauh mana pengetahuan, keizinan dan pembabitan PKPS dalam pembangunan tanah tapak perkhemahan sehingga ia melepaskan pemilikan tersebut.
“Dalam konteks kesan alam sekitar akibat perbuatan yang dikaitkan dengan defendan pertama dan kedua ke atas tanah milik PKPS dan skala bencana yang berlaku, adalah juga terlalu awal untuk memutuskan perkara yang boleh diabaikan secara sah oleh pemilik tanah sebagai suatu pertimbangan dasar,” kata Elain.
Zon Terjejas merangkumi tanah tapak perkhemahan, Father’s Organic Farm dan kawasan yang dikenal pasti sebagai punca tanah mula jatuh di sepanjang Jalan Batang Kali-Genting Highlands.
Persoalan undang-undang yang dikemukakan adalah sama ada pemilik tanah terdahulu mempunyai kewajipan menjaga terhadap pengunjung, sama ada tindakan pihak lain memutuskan rangkaian sebab-akibat dan sama ada tuntutan itu terkecuali oleh had masa di bawah undang-undang.
Pada Oktober 2024, seramai 23 mangsa dan ahli keluarga korban tanah runtuh memfailkan saman terhadap Kerajaan Negeri Selangor, PKPS, Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) dan Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor.
Turut dinamakan dalam saman itu ialah BL Agro Sdn. Bhd., Malaysia Botanical Gardens Resort Sdn. Bhd. dan Infrasel Sdn. Bhd. yang merupakan pengusaha dan pemilik tapak perkhemahan serta tanah terbabit.
Selain itu, Elain dalam penghakimannya menyatakan, punca tanah runtuh sama ada berpunca daripada pembersihan tanah, kerja pembinaan atau tindakan mana-mana pihak, masih belum diputuskan.
“Ia termasuk persoalan sama ada tindakan defendan pertama (BL Agro Sdn. Bhd.) dan defendan kedua (Malaysia Botanical Garden Resorts Sdn. Bhd.) seperti pembersihan tanah dan pembinaan struktur, dilakukan dengan pengetahuan, persetujuan atau penyeliaan PKPS ketika ia masih pemilik tanah.
“Oleh kerana fakta material masih belum dibuktikan, mahkamah memutuskan bahawa adalah tidak sesuai untuk membuat sebarang dapatan undang-undang mengenai kewajipan atau liabiliti PKPS pada peringkat ini,” katanya.
Pada suatu ketika, Zon Terjejas telah diwartakan sebagai rizab jalan bagi Jalan Batang Kali–Genting Highlands dan tidak lagi menjadi milik PKPS.
PKPS kekal sebagai pemilik berdaftar tanah tapak perkhemahan dari 11 Februari 1998 hingga 7 Mac 2019 apabila ia menjual tanah itu kepada defendan kedua (Malaysia Botanical Garden Resorts Sdn. Bhd.).
PKPS telah memajak tanah tapak perkhemahan kepada defendan kedua sebelum penjualan.
Dalam tempoh itu, defendan kedua melesenkan tanah kepada Tanah Gaia Sdn. Bhd. (kemudian dikenali sebagai Father’s Organic Farm Sdn. Bhd.) antara 23 Oktober 2015 hingga 31 Ogos 2017 dan membenarkan kerja pembersihan hutan serta pembinaan struktur untuk operasi Father’s Organic Farm.
Defendan pertama (BL Agro Sdn. Bhd.) juga mengambil alih lesen dan operasi pertanian selepas 31 Ogos 2017 dan membuka kawasan itu kepada orang awam sebagai tapak perkhemahan. Struktur tambahan turut dibina untuk aktiviti perkhemahan.
Pada awal 2018, lebih banyak kerja pembersihan tanah dilakukan oleh defendan pertama dan kedua berhampiran hujung benteng tanah yang dibina sebagai sebahagian pembinaan Jalan Batang Kali–Genting Highlands.
Oleh itu, PKPS didakwa cuai kerana gagal memantau, menyelia dan menghentikan kerja pembersihan tanah berkenaan yang telah menceroboh hutan simpan atau dilakukan tanpa kelulusan diperlukan.
Menurut pernyataan tuntutan, tanah, batu dan sisa berkumpul membentuk empangan dalam tapak tanah perkhemahan yang bertahan sekitar 20 minit sebelum runtuh dalam runtuhan kedua yang menenggelamkan lebih banyak kawasan tanah terbabit. – UTUSAN










