PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan di sini hari ini menolak rayuan terakhir seorang penganggur yang dihukum penjara 35 tahun dan 24 sebatan kerana membunuh adik lelakinya yang lumpuh dan ibu saudaranya, sembilan tahun lalu.
Panel tiga hakim diketuai Datuk Nordin Hassan yang bersidang bersama Datuk Seri Vazeer Alam Mydin Meera dan Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd. Salleh sebulat suara menolak permohonan oleh Azman Wahab, 41.
“Rayuan perayu (Azman) ditolak. Oleh itu, hukuman penjara 35 tahun bagi dua sabitan dikekalkan, begitu juga dengan keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Rayuan,” kata Hakim Nordin.
Pada 25 Ogos 2022, Azman disabitkan bersalah oleh Mahkamah Tinggi Alor Setar atas pertuduhan menyebabkan kematian di bawah Seksyen 304(b) Kanun Keseksaaan dan dijatuhkan hukuman penjara 16 tahun.
Bagaimanapun, pada 14 November 2024, Mahkamah Rayuan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi selepas membenarkan rayuan pendakwaan untuk mensabitkan Azman atas pertuduhan bunuh yang asal iaitu mengikut Seksyen 302 Kanun keseksaan setelah mendapati terdapat merit dalam rayuan pendakwaan.
Terdahulu, peguam-peguam bela perayu, Ai Cha Ran dan Surachetth Jotsuwan membuat permohonan untuk mengemukakan bukti baharu iaitu laporan perubatan perayu kepada mahkamah.
Namun, Timbalan Pendakwa Raya, Siti Rafidah Zainuddin membantah permohonan itu kerana ketiga-tiga laporan tersebut telah ditandakan bagi tujuan pengecaman dalam perbicaraan sebelum ini.
Azman disabitkan membunuh adik lelakinya, Muhammad Azwan Wahab, 26, di ruang tamu rumah mereka di Kampung Lanai, Parit Panjang, Baling, Kedah pada pukul 11 pagi, 2 Oktober 2016.
Dia turut didapati bersalah membunuh ibu saudaranya, Rokiah Abdullah, 54, di luar rumah sama pada 11.10 pagi, hari yang sama.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun maksimum 40 tahun, dan sebatan tidak melebihi 12 kali jika tidak dihukum gantung.
Menurut fakta kes berkenaan, Azman telah memukul kepala adiknya yang lumpuh akibat kemalangan dengan batang pokok rambutan sebelum cuba memukulnya dengan sebatang besi.
Penganggur itu kemudian pergi ke dapur untuk mengambil pemarut kelapa dan berulang kali memukul adiknya.
Kemudian, Azman membaling seketul bata ke arah muka Rokiah dan apabila wanita itu jatuh, dia mengambil semula bata itu dan membalingnya ke arah Rokiah sekali lagi sehingga wanita tersebut tidak sedarkan diri.
Menurut laporan bedah siasat, kepala dan muka Muhammad Azwan hancur sementara kecederaan Rokiah disifatkan seperti buah kelapa yang hampir terbelah dua. – UTUSAN










