KOTA KINABALU: Saksi kanak-kanak ke-27 memberitahu Mahkamah Koroner di sini hari ini bahawa pada petang 15 Julai lalu, pelajar Tingkatan Satu, Allahyarham Zara Qairina Mahathir telah dipulau dan tidak dilayan oleh rakan-rakan yang lain.
Saksi yang juga rakan satu dorm remaja terbabit turut mendengar seorang pelajar junior bercakap dengan penghuni dorm A3-5: ‘Semua Zara batch kita ni ada problem’.
Terdahulu, saksi itu memberitahu, pada malam 15 Julai lalu, seorang pelajar junior telah pergi ke setiap bilik dorm di aras tiga Blok A, Rabiatul Adawiyah dan memberitahu bahawa dia telah kehilangan kad bank dan mengesyaki bahawa Zara Qairina adalah pelakunya.
Rakan baik saksi juga mengadu kehilangan wang RM21 pada malam yang sama.
Tambahnya, selepas Zara Qairina dipanggil oleh senior ke dorm bersebelahan (A3-6), beberapa pelajar junior membuat pemeriksaan pada lokar, beg dan seluar remaja terbabit.
Pada ketika itu, ada juga pelajar junior yang menjaga pintu bagi memantau pergerakan Zara Qairina.
Saksi inkues ke-36 itu turut memberitahu semasa pemeriksaan itu, seorang penghuni menemui satu pin Jalur Gemilang di beg Zara Qairina dan satu lagi pin ditemui di poket seluar remaja terbabit.
Turut ditemui ialah wang RM21 dalam dompet Zara Qairina yang mana pelajar kehilangan wang itu mendakwa wang terbabit adalah miiknya kerana lipatan duit ‘seakan sama’ dengan yang hilang.
Saksi itu kemudian memberitahu Zara Qairina kemudian dilihat berlari masuk ke dalam dorm A3-5 dan itu merupakan kali pertama saksi melihat remaja tersebut dalam keadaan sedemikian.
Sekitar pukul 4 pagi, 16 Julai lalu, selepas terjaga dari tidur, saksi itu memberitahu dia tidak melihat Zara Qairina di dalam dorm berkenaan.
Sementara itu, pada awal prosiding, saksi berkenaan memberitahu Zara Qairina dilihat baik dan rapat dengan ibunya, Noraidah Lamat.
Ujarnya, Zara Qairina sering meluahkan perasaan kepada ibunya dan Noraidah juga sering memberikan wang kepada anaknya.
Saksi itu turut memberitahu, Zara Qairina merupakan seorang yang friendly dengan semua orang, ceria dan suka bergurau.
Prosiding inkues yang memasuki hari ke-31 hari ini bersambung 5 November ini. – UTUSAN










