Penduduk Kg. Sg. Baru gagal ketepi perintah pengosongan kediaman

Penduduk Kg. Sg. Baru gagal ketepi perintah pengosongan kediaman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seramai 23 penduduk Kampung Sungai Baru gagal mengetepikan keputusan mahkamah terdahulu yang memerintahkan mereka untuk mengosongkan kediaman masing-masing.

Bagaimanapun, kesemua plaintif itu diberi peluang untuk menulis surat kepada peguam pemaju untuk dibenarkan masuk ke dalam rumah bagi mengambil barang-barang yang masih ada dalam kediaman masing-masing.

Perkara itu dimaklumkan oleh peguam, Datul Rosal Azimin Ahmad ketika ditemui media selepas prosiding yang dijalankan secara dalam kamar di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Su Tiang Joo. Mahkamah turut memerintahkan kesemua plaintif membayar kos RM10,000.

Menurut peguam itu, hakim menolak rayuan pemilik-pemilik rumah teres itu atas alasan pelaksanaan milikan kosong telah dijalankan.

“Tetapi kita diberikan peluang untuk menulis surat kepada peguam pemaju untuk dibenarkan masuk ke dalam rumah untuk mengambil barang-barang yang masih ada dalam rumah.

“Ada tempoh masa untuk kita failkan rayuan, jadi kita akan kita akan failkan dalam tempoh yang dibenarkan undang-undang, dalam tempoh 30 hari,” katanya.

Menurut notis rayuan yang difailkan, pemilik kediaman merayu terhadap keputusan Penolong Kanan Pendaftar, Qasiratul Jannah Usmani Othman yang menolak permohonan mereka untuk menggantung writ milikan kosong yang dikeluarkan pada 4 Jun lalu dan pelaksanaaan writ terbabit pada 15 Julai lalu.

Penduduk yang bertindak selaku perayu menamakan syarikat pemaju, KL City Getaway sebagai responden dalam rayuan itu.

Pada 15 September lalu, polis bersama pelbagai agensi penguat kuasa melaksanakan writ milikan kosong terhadap 26 hak milik individu merangkumi 37 unit rumah teres di Kampung Sungai Baru, di sini.

Tindakan itu dilaksanakan selepas melalui beberapa proses perolehan yang ditetapkan dan perintah pengosongan dikeluarkan mahkamah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×