SEREMBAN: Seorang pekerja bengkel warga Myanmar didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh rakan senegaranya pada minggu lalu.
Tiada pengakuan direkodkan oleh tertuduh, Tha Hnin Sang, 19, yang hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurul Farha Sulaiman.
Mengikut pertuduhan, tertuduh telah melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian Cung Tha Lian yang berusia 25 tahun.
Kesalahan itu dilakukan antara pukul 8.46 hingga 11.41 malam di sebuah bengkel kenderaan di Jalan Lingkaran Tengah di sini pada 3 Oktober lalu.
Sehubungan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan, boleh dihukum mati atau penjara tidak kurang daripada 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun.
Sekiranya dijatuhkan hukuman mati, perlu dikenakan tidak kurang daripada 12 sebatan.
Mahkamah menetapkan kes disebut semula pada 10 Disember depan.
Sementara itu, dalam prosiding berasingan tertuduh dijatuhi hukumen penjara satu bulan selepas mengaku bersalah masuk ke negara ini tanpa dokumen atau pas yang sah mengikut segi undang-undang.
Kesalahan itu dilakukan pada pukul 6.50 pagi di Kampung Tersusun Mutiara Galla, Seremban, 4 Oktober lalu.
Tertuduh merayu dikenakan hukuman minimum dan memberitahu baru empat bulan masuk ke negara ini serta bekerja di sebuah bengkel kenderaan.
Pihak pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nik Nur ‘Aqilah Syarfa Nik Zaidi dan Norshafatihah Nor Azmi manakala tertuduh tidak diwakili peguam. – UTUSAN










