PUTRAJAYA: Bekas Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Perak, Paul Yong Choo Kiong memohon Mahkamah Persekutuan menyemak semula keputusan yang mengekalkan sabitan serta hukuman penjara lapan tahun dan dua sebatan terhadapnya atas kesalahan merogol pembantu rumah warga Indonesia, enam tahun lalu.
Permohonan itu difailkan pada 24 Oktober lalu di bawah Kaedah 137 Kaedah-kaedah Mahkamah Persekutuan 1995 bagi membolehkan kes berkenaan didengar semula oleh panel hakim yang berbeza.
Dalam afidavit sokongan, Choo Kiong mendakwa berlaku ketidakadilan prosedur ketika Mahkamah Persekutuan memutuskan untuk mengekalkan sabitan dan hukuman terhadapnya pada 1 Oktober lalu.
Beliau mendakwa, mahkamah tertinggi itu telah menyimpang daripada tafsiran undang-undang sedia ada berkaitan Seksyen 182A Kanun Tatacara Jenayah tanpa memberi peluang kepada pasukan pembelaan berhujah berhubung perkara tersebut.
Choo Kiong mendakwa, mahkamah itu juga gagal mempertimbangkan sepenuhnya hujahan pihak pembela mengenai tafsiran sebenar seksyen berkenaan.
Dakwanya, mahkamah juga gagal mengambil kira kenyataan bersumpahnya di bawah Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah yang dirakam dua hari selepas kejadian sedangkan kenyataan itu didakwa menyokong pembelaannya.
Katanya, situasi tersebut menimbulkan ketidakadilan serius yang menjejaskan hak perlembagaannya untuk hidup dan bebas seperti termaktub dalam Perkara 5 serta hak mendapat layanan sama rata di sisi undang-undang di bawah Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan.
Sebelum ini, panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Ketua Hakim Negara, Tan Sri Wan Ahmad Farid Wan Salleh bersidang bersama Hakim Datuk Nordin Hassan dan Hakim Datuk Hanipah Farikullah menolak rayuan akhir Choo Kiong dan menegaskan sabitan terhadapnya adalah kukuh.
Pada 22 Julai 2022, Mahkamah Tinggi, Ipoh mendapati Choo Kiong bersalah merogol pembantu rumah berusia 23 tahun itu di rumahnya di Meru Desa Park antara pukul 8.15 malam hingga pukul 9.15 malam pada 7 Julai 2019.
Keputusan itu kemudian dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan melalui keputusan majoriti 2-1. – UTUSAN










