Lelaki dipenjara empat tahun cederakan anak kandung guna parang

Lelaki dipenjara empat tahun cederakan anak kandung guna parang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang penganggur dijatuhi hukuman penjara empat tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah mencederakan anak kandungnya menggunakan sebilah parang dalam kejadian minggu lalu.

Tertuduh, K. Vejesh, 49, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mazuliana Abdul Rashid.

Mengikut pertuduhan, Vejesh didakwa dengan sengaja mencederakan anak perempuannya berusia sembilan tahun 10 bulan menggunakan sebilah parang di sebuah pangsapuri di Setapak, kira-kira pukul 1.30 pagi, 22 Oktober lalu.

Kesalahan itu dilakukan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 326A kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun, denda atau sebatan, atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh telah melibas parang ke arah anaknya hingga terkena bahagian kaki mangsa dan menyebabkan luka sepanjang empat hingga lima sentimeter di kaki kiri.

Mangsa kemudian dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk mendapatkan rawatan.

Susulan kejadian itu, tertuduh ditahan di lokasi kejadian dan direman pada hari sama bagi membantu siasatan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Noor Syafina Mohd. Radzuan, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Ketika prosiding, Vejesh merayu agar mahkamah mempertimbangkan hukuman yang lebih ringan.

Bagaimanapun, Noor Syafina memohon agar hukuman setimpal dikenakan sebagai pengajaran memandangkan mangsa merupakan anak kandung tertuduh sendiri dan kes ini melibatkan unsur keganasan terhadap kanak-kanak.

Selepas meneliti hujahan kedua-dua pihak, Hakim Mazuliana menjatuhkan hukuman penjara empat tahun bermula dari tarikh tangkap. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN