KUALA LUMPUR: Pihak pendakwaan kes pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram membabitkan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) oleh Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman telah bersedia dengan rayuan mereka.
Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata, pihak responden (Syed Saddiq) memohon agar rayuan itu didengar pada Januari 2026.
“Pihak perayu bersedia dan telah bersedia dengan hujahan yang sudah pun siap. Bagaimanapun, peguam responden (Datuk Hisyam Teh Poh Teik) memohon tarikh pada bulan Januari yang mana tidak dipersetujui oleh mahkamah.
“Mahkamah kemudian meminta kedua-dua belah pihak, terutama responden untuk menulis surat kepada mahkamah. Macam pihak kami, kami telah bersedia sama ada Disember atau Januari.
“Mahkamah minta kami menulis surat dan akan menetapkan tarikh pengurusan kes yang baharu,” katanya.
Pada 25 Jun lalu, Syed Saddiq dilepas dan dibebaskan daripada sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta selepas Mahkamah Rayuan membenarkan rayuannya.
Syed Saddiq akan kekal bebas sekiranya keputusan Mahkamah Persekutuan berpihak kepadanya, namun beliau juga berhadapan kemungkinan akan disabit salah semula dan dikenakan hukuman bagi kesalahan berkenaan.
Wan Shaharuddin yang juga Pengarah Kanan Bahagian Perundangan dan Pendakwaan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata demikian selepas pengurusan kes rayuan berkenaan yang dijalankan melalui aplikasi Zoom di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan, Mahyun Yusof.
Sementara itu, Hisyam ketika dihubungi mengesahkan perkara itu dan berkata, beliau memaklumkan kepada Timbalan Pendaftar bahawa tarikh pendengaran rayuan yang sesuai bagi pihaknya ialah di antara pertengahan dan akhir Januari 2026.
Hisyam berkata, mahkamah telah mengarahkan pihaknya untuk mengemukakan alasan mengapa memohon tarikh pendengaran pada Januari.
Beliau berkata, responden juga diminta untuk memaklumkan kepada mahkamah, tarikh yang sesuai bagi pihaknya untuk prosiding rayuan terbabit. Katanya, surat itu akan dihantar kepada mahkamah hari ini.
Pada 22 September lalu, Pendakwa Raya selaku perayu memfailkan petisyen rayuan dengan mengemukakan 25 alasan mengapa Mahkamah Persekutuan sepatutnya mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan yang melepas dan membebaskan Syed Saddiq daripada sabitan dan hukuman berkenaan.
Keputusan Mahkamah Rayuan itu diputuskan panel tiga hakim iaitu Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim, Hakim Datuk Azman Abdullah dan Hakim Datuk Noorin Badaruddin yang sebulat suara membenarkan rayuan Syed Saddiq.
Dalam petisyen rayuan berkenaan, Pendakwa Raya memohon kepada Mahkamah Persekutuan supaya keputusan Mahkamah Rayuan diketepikan dan perintah sabitan serta hukuman hukuman Mahkamah Tinggi sebelum ini terhadap responden dikembalikan.
Daripada 28 alasan melalui petisyen rayuan itu, 15 alasan berhubung pertuduhan bersubahat melakukan pecah amanah mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan, sembilan alasan bagi pertuduhan menyalahgunakan harta mengikut Seksyen 403 kanun sama dan empat bagi dua pertuduhan mengikut Seksyen 4 (1) (b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
Antara lain, Pendakwa Raya menyatakan hakim terkhilaf apabila membebaskan Syed Saddiq, sedangkan ia (pendakwaan) telah berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah bagi pertuduhan persubahatan.
Hakim Mahkamah Rayuan juga dikatakan terkhilaf apabila memutuskan tiada kes prima facie, sedangkan perayu telah membuktikan semua elemen kesalahan persubahatan dengan keterangan yang berwibawa.
Pendakwaan berkata, mahkamah turut terkhilaf apabila beranggapan sabitan pengubahan wang haram tidak boleh berdiri tanpa kesalahan predikat, sedangkan Seksyen 4 (1) (b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 boleh berfungsi secara sendiri. – UTUSAN










