Nota berdarah, buku latihan ‘pergi mati’ ditunjukkan di mahkamah - Utusan Malaysia

Nota berdarah, buku latihan ‘pergi mati’ ditunjukkan di mahkamah

ZARA QAIRINA MAHATHIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Sehelai kertas yang didakwa ditulis oleh Allahyarham Zara Qairina Mahathir yang terdapat kesan tompokan dan calitan dipercayai darah dikemukakan di Mahkamah Koroner di sini, semalam.

Pada muka surat yang tertulis tarikh 5/1/25 (ada kesan dipercayai darah) terdapat tulisan tangan antara lain menyebut: “Dengan (tulisan tidak lengkap) Bismillah, saya Zara Qairina binti (tulisan tidak lengkap) i­ngin memutuskan persahabatan (na­ma tidak jelas).”

Di bahagian belakang helaian yang sama pula tertulis perkataan ‘AKU RINDU KAMU’ dan contengan memenuhi muka surat tersebut.

Turut dikemukakan di mah­kamah adalah sebuah buku latihan yang tertulis nama ‘ZARA QAIRINA BINTI MAHATHIR’ yang mana di bahagian ‘PERKARA:’ tertulis perkataan ‘Pergi Mati’.

Buku latihan yang ditandakan sebagai W4 pada prosi­ding itu telah digunakan sebagai contoh tulisan oleh pemeriksa dokumen daripada Jabatan Kimia, Nurul Atiqah Mohd. Noh untuk membuat perbandingan tulisan tangan bagi beberapa helaian kertas yang turut me­ngandungi tulisan tangan remaja terbabit.

Selain itu, beberapa helaian kertas yang menunjukkan perasaan marah, tidak puas hati dan kata-kata kesat remaja terbabit terhadap ibunya, Noraidah Lamat turut ditunjukkan di mahkamah.

Kesemua helaian kertas dan buku latihan tersebut merupakan antara 15 helaian kertas, empat buah buku nota dan dua buah buku teks yang dikemukakan pada inkues yang memasuki hari ketiga.

Terdahulu, Nurul Atiqah memaklumkan, selain buku latihan bertanda W4, buku teks Bahasa Melayu (Modul Pentaksiran Bilik Darjah) Tingkatan 1 KSSM (W5) dan buku Science (Pentaksiran Formatif & Sumatif) Tingkatan 1 KSSM (W6) turut digunakan sebagai perbandingan dengan 15 helaian kertas yang mengandungi tulisan tangan Zara Qairina.

Kesemua eksibit tersebut di­peroleh daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), namun nota berdarah diterima daripada ahli kimia Bahagian DNA Forensik, Jabatan Kimia, Nor Aidora Saedon.

“Eksibit ini (Y8) dihantar ke bahagian DNA forensik terlebih dahulu untuk diperiksa sebelum dihantar kepada saya,” katanya ketika disoal salah seorang peguam yang mewakili lima remaja, Datuk Ram Singh.

Pada prosiding sama, ketika disoal oleh peguam Shahlan Jufri yang mewakili ibu Zara Qairina, saksi kedua inkues berkenaan tidak menolak kemungkinan bahawa kesemua 15 helaian kertas itu adalah dari buku yang sama dan telah dikoyakkan daripada buku ber­kenaan.

Ketika dirujuk kepada beberapa keping gambar, Nurul Atiqah memaklumkan beliau tidak boleh membuat perban­dingan di antara eksibit fizikal dengan gambar, namun bersetuju bahawa helaian-helaian kertas yang dikemukakan di mahkamah sama dengan helaian kertas yang terdapat dalam gambar.

Bagaimanapun, ketika dita­nya oleh Koroner Amir Shah Amir Hussin mengenai keberadaan buku berkenaan, peguam terbabit memaklumkan buku ‘Love & Peace’ warna hijau itu telah dirampas oleh polis dan pihaknya hanya mempu­nyai gambar buku dan isi kan­dungan buku berkenaan.

Prosiding inkues bersambung hari ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×